Ukraine batal sambutan kemerdekaan elak serangan Russia - Utusan Malaysia

Ukraine batal sambutan kemerdekaan elak serangan Russia

PENDUDUK berjalan melepasi sebuah pusat beli-belah yang musnah di Bucha, wilayah Kyiv, Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Ibu negara Ukraine, Kyiv membatalkan sambutan awam bagi memperingati kemerdekaan daripada pemerintahan Soviet, pada minggu ini berikutan ancaman serangan Russia yang semakin meningkat.

Berhampiran barisan hadapan di selatan negara itu, pihak berkuasa Ukraine berkata, tentera Russia melancarkan roket ke beberapa bandar di utara dan barat loji tenaga nuklear terbesar Eropah, yang dikepung oleh tentera Moscow sejurus selepas mereka menceroboh Ukraine pada Februari lalu.

Serangan tembakan roket dan artileri di kawasan kompleks reaktor nuklear Zaporizhzhia, di tebing selatan Sungai Dnipro turut menimbulkan kebimbangan kawasan itu dimusnahkan.

Malah, penduduk Ukraine yang tinggal berhampiran loji itu juga menyuarakan kebimbangan serangan roket itu mungkin boleh terkena salah satu daripada enam reaktor loji itu, dengan kesan berpotensi membawa bencana nuklear.

Satu dokumen menunjukkan pihak berkuasa tempatan Kyiv mengharamkan acara awam berkaitan dengan sambutan ulang tahun itu bermula Isnin hingga Khamis disebabkan kemungkinan serangan roket.

Pihak pentadbiran lain juga melarang acara perhimpunan awam. 

Di Kharkiv, sebuah bandar di timur laut yang sering mengalami serangan tembakan tembakan roket dan artileri jarak jauh, Datuk Bandar, Ihor Terekhov melanjutkan perintah berkurung semalaman bermula pukul 4 petang hingga 7 pagi, berkuat kuasa semalam sehingga Khamis.

Di pelabuhan Mykolaiv berhampiran wilayah yang dikuasai Russia di selatan, gabenor Vitaliy Kim pula memaklumkan pihak berkuasa merancang mengenakan perintah berjaga-jaga selama dua hari bagi membolehkan penduduk bekerja dari rumah selain menggesa orang ramai untuk tidak berhimpun dalam kumpulan besar.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, Moscow akan mencuba ‘sesuatu yang sangat teruk’ menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-31, menandakan setengah tahun sejak insiden pencerobohan Rusia di negara itu.

Kyiv berada jauh dari barisan hadapan dan jarang terkena bedilan peluru berpandu Russia sejak pasukan tentera Ukraine menangkis serangan darat Russia untuk merampas ibu negara pada Mac lalu. 

Sementara itu, Zelensky menggesa Eropah mengenakan hukuman baharu terhadap Russia selepas tindakan Moscow menghentikan bekalan gas selama tiga hari sebagai tindak balas terhadap sekatan Kesatuan Eropah (EU).

Bagaimanapun, Russia menafikan perkara itu, dengan mendakwa pemberhentikan itu disebabkan pelbagai masalah teknikal. – REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN