BAITULMUQADDIS: Israel dan Turkiye mengumumkan penyambungan semula hubungan diplomatik dalam skala penuh kelmarin.
Perdana Menteri Israel, Yair Lapid memuji tindakan itu sebagai ‘aset penting untuk kestabilan serantau dan berita ekonomi yang penting buat rakyat’.
Keputusan itu dibuat menerusi panggilan telefon antara Lapid dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang menyaksikan kedua-dua pemimpin bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang pelancongan dan perdagangan.
Pejabat Erdogan memaklumkan, menerusi panggilan telefon berkenaan, Presiden Turkiye itu menzahirkan sokongan kepada ‘pembangunan kerjasama dan dialog antara negara itu dengan Israel’.
Pengumuman itu dibuat susulan usaha bilateral selama beberapa bulan bagi membolehkan kedua-dua negara menjalin semula hubungan diplomatik.
Dalam pada itu, Menteri Luar Turkiye, Mevlut Cavusoglu berkata, penghantaran semula duta ke negara masing-masing adalah ‘penting untuk meningkatkan hubungan dua hala berkesan’, di samping menegaskan negara itu sesekali tidak akan melupakan konflik yang berlaku antara Israel dan Palestin.
Pada Mei lalu, Cavusoglu menjadi menteri luar pertama Turkiye mengunjungi Israel dalam tempoh 15 tahun dan beliau turut mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan Palestin di Tebing Barat.
Hubungan Israel dan Palestin mula tegang sejak 2008 berikutan operasi ketenteraan Zionis di Semenanjung Gaza.
Pada 2010, hubungan kedua-dua negara terus dihentikan berikutan kematian 10 penduduk awam akibat serangan tentera Israel terhadap kapal Turkiye, Mavi Marmara yang cuba menghantar bantuan kemanusiaan ke gaza.
Di sebalik hubungan tegang, urusan perdagangan antara Turkiye dan Israel masih berterusan, selain beberapa destinasi pelancongan di negara itu menjadi pilihan penduduk Yahudi Israel. – AFP