Grab Malaysia lancar khidmat Grab EV di KLIA

Grab Malaysia lancar khidmat Grab EV di KLIA

ANTHONY Loke (dua dari kanan) bersama Rashid Shukor (kanan) pada majlis pelancaran Grab EV di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang semalam.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Grab Malaysia melancarkan perkhidmatan dan rangkaian kenderaan elektrik (EV) pertamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang ditawarkan khas untuk penumpang yang tiba di lapangan terbang tersebut.

Buat masa ini, 10 buah kenderaan pelbagai guna (MPV) elektrik jenama BYD M6 disediakan bagi perjalanan itu yang menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih senyap dan lancar kepada penumpang. 

Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, perkhidmatan baharu ini sebahagian usaha menyokong inisiatif kelestarian nasional termasuk dalam sasaran mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030.

Beliau berkata, pihaknya memilih KLIA sebagai lokasi pertama untuk melancarkan ciri perjalanan baharu ini kerana peranannya sebagai hab pengangkutan utama di negara ini.

“Permintaan untuk perkhidmatan e-hailing memberikan kami platform sempurna untuk menunjukkan bahawa EV bukan sahaja boleh berdaya maju tetapi juga selesa dan bersedia untuk masa depan.

“Dengan memberikan pilihan khusus kepada pengembara untuk memilih mod pengangkutan EV terus dari KLIA, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran dan minat terhadap penggunaan EV di peringkat nasional,” katanya pada majlis pelancaran tersebut di sini, semalam.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Katanya, pihaknya juga memperkenalkan ruang rehat dikenali ‘Lounge EV’ ‘di KLIA ini dengan ruang yang selesa di mana penumpang boleh menunggu kenderaan mereka dengan tenang.

Selain itu, Rashid berkata, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa rakan industri terutama peneraju EV termasuk BYD Sime Motors, Yinson Green Technologies, dan Power-Up Tech.

“Kerjasama itu bagi memudahkan peralihan rakan-rakan pemandu kami kepada EV yang lebih kos efektif melalui akses kepada infrastruktur pengecasan, sokongan pembiayaan dan pembekalan kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Anthony berkata, pengenalan perkhidmatan EV khas untuk e-hailing oleh Grab Malaysia dijangka mampu meningkatkan mutu sistem pengangkutan di pintu masuk utama negara khususnya di KLIA.

Katanya, pihaknya menyokong penuh inisiatif Grab Malaysia yang komited mempercepatkan peralihan negara ke arah sistem pengangkutan yang lebih bersih, cekap dan mesra alam.

“Pemilihan KLIA sebagai lokasi pelancaran adalah amat strategik bukan sahaja kerana jumlah trafik penumpang yang tinggi.

“Ia juga memberi pendedahan maksimum kepada pengguna domestik dan antarabangsa mengenai usaha Malaysia dalam memperkukuhkan mobiliti hijau,” katanya.

Katanya, kerjasama awam-swasta itu adalah kunci kejayaan dalam mempercepatkan penggunaan EV di seluruh negara. 

Beliau berkata, pelancaran inisiatif baharu Grab Malaysia akan menjadi pemangkin kepada pengembangan EV di seluruh Malaysia bukan sahaja di Lembah Klang, tetapi juga di bandar-bandar utama lain seperti Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN