BEIJING: China memulakan siri latihan ketenteraan terbesar yang pernah dilakukan, di perairan sekitar Taiwan.
Operasi itu dilakukan di laluan perkapalan antarabangsa yang penting sebagai tindak balas susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taiwan.
Berdasarkan pengumuman di media kerajaan, latihan ketenteraan yang dijadualkan bermula pada pukul 12 tengah hari (waktu tempatan) akan melibatkan ‘aktiviti latihan termasuk tembakan amunisi hidup’.
Latihan ketenteraan itu akan berlangsung di beberapa zon mengelilingi Taiwan, di beberapa lokasi dalam jarak hanya 20 kilometer (km) dari pantai pulau itu, sehingga berakhir pada tengah hari Ahad.
Memetik laporan Global Times, penganalisis pertahanan berkata, latihan ketenteraan itu ‘belum pernah berlaku sebelum ini’ dan peluru berpandu akan terbang merentasi Taiwan buat pertama kali.
“Ini adalah pertama kali Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) akan melancarkan artileri jarak jauh merentasi Selat Taiwan,” katanya.
Operasi yang berlangsung sejak Selasa lalu, menyediakan pentas untuk latihan, dengan agensi berita Xinhua melaporkan mereka membuat simulasi `sekatan bersama’ Taiwan.
Taipei mengutuk pelan latihan ketenteraan itu dengan memberi amaran ia mengancam keselamatan rantau Asia Timur.
Kementerian Pertahanan Taiwan menegaskan latihan itu jelas melanggar peraturan perairan rantau itu.
“Beberapa kawasan latihan China menceroboh perairan wilayah (Taiwan). Ini adalah langkah yang tidak rasional untuk mencabar perintah antarabangsa,” kata jurucakapnya, Sun Li-Fang.
Malah, Kumpulan Tujuh Negara (G7) turut mengecam latihan ketenteraan yang dirancang dengan menegaskan ‘tiada kewajaran untuk menggunakan lawatan sebagai alasan bagi aktiviti ketenteraan yang agresif di Selat Taiwan’.
Pelosi meninggalkan Taiwan selepas lawatan kurang daripada 24 jam itu, walaupun terdapat beberapa siri ancaman ketara dari Beijing yang menganggap Taipei sebagai ‘wilayahnya yang terpisah’.
Pelosi, pemimpin nombor dua dalam senarai pengganti Presiden AS itu, merupakan ahli politik berpangkat tinggi AS yang melawat Taiwan dalam tempoh 25 tahun.
Beliau juga memaklumkan lawatan tersebut bagi menyatakan secara jelas AS `tidak akan meninggalkan’ sekutu demokratik seperti Taiwan. – AFP