JAKARTA: Pasangan suami isteri, Ferdy Sambo dan Putri Candrawathi kini menjadi suspek utama dalam kes pembunuhan melibatkan anggota polis berpangkat sarjan, Nofriansyah Yosua Hutabarat.
Selain pasangan suami isteri itu, tiga individu turut dijadikan suspek dalam kes pembunuhan tersebut iaitu Richard Eliezer atau Bharada E, Ricky Rizal dan Kuat Ma’ruf.
Kelima-limanya didakwa terlibat dalam kes pembunuhan terancang melibatkan Nofriansyah dan jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara seumur hidup atau hukuman mati.
Terdahulu, Nofriansyah dilaporkan maut akibat ditembak oleh Bharada E di rumah Ferdy di Duren Tiga, Jakarta Selatan pada 8 Julai lalu.
Lapor Kompas.com, kejadian itu mulanya dilaporkan berlaku selepas mangsa didakwa cuba melakukan serangan seksual terhadap Putri.
Namun, seiring dengan siasatan yang berjalan, polis menemukan bukti bahawa tiada berlaku berbalas tembakan di rumah Ferdy seperti yang dimaklumkan sebelum ini, sebaliknya, Ferdy mengarahkan Bharada E menembak mangsa.
Polis juga menemukan bukti mangsa tidak melakukan serangan seksual terhadap Putri sebelum dia dibunuh.
Disebabkan plot yang berubah-ubah dan penemuan beberapa bukti baharu, polis dan peguam bela bagi Putri masing-masing menyifatkan mereka seolah-olah ‘ditipu dengan rancangan yang dilakukan semua suspek’.
Ketua Harian Surhanjaya Polis Nasional (Kampolnas), Benny Mamoto mengakui tidak menyangka dia menjadi seorang daripada ‘mangsa senario yang dicipta oleh Ferdy dan isterinya’.
Beliau turut didesak orang ramai supaya meletakkan jawatan kerena menyalurkan maklumat tidak tepat mengenai kes berkenaan.
“Saya minta maaf, saya tiada niat menipu masyarakat. Saya tidak sangka akan diperbodohkan dengan cerita rekaan Ferdy dan isetrinya,” ujarnya.
Selain itu, ketua peguam Putri, A Patra M Zen turut menzahirkan kekecewaan dengan dakwaan anak guamnya mengenai serangan seksual oleh mangsa.
“Saya juga kena ‘prank’ oleh anak guam saya sedangkan perkara yang didakwa Putri tidak berlaku,” jelasnya.