YANGON: Bekas pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, 77, berkemungkinan besar akan dipindahkan dari penjara bagi menjalani hukuman sebagai tahanan di rumah.
Ketua Junta Tentera, Min Aung Hlaing berkata, beliau akan mempertimbangkan perkara itu hanya selepas keputusan mahkamah membabitkan pendakwaan kes terhadap Suu Kyi diputuskan.
Kenyataan bertulis Aung Hlaing dibacakan di televisyen sebagai maklum balas kepada permintaan dibuat oleh utusan khas PBB ke Myanmar, Noeleen Heyzer.
Sejak rampasan kuasa di Myanmar, Suu Kyi berdepan 18 pertuduhan termasuk rasuah sehingga kesalahan pilihan raya.
Beliau dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun selepas mahkamah mendapati pemimpin awam itu bersalah atas satu daripada 11 pertuduhan rasuah yang dihadapinya.
Keputusan itu membabitkan pertuduhan Suu Kyi menerima 11.4 kilogram (kg) emas dan rasuah wang tunai sebanyak AS$600,000 (RM2.6 juta) daripada bekas ketua menteri Yangon, Phyo Min Thein.
Suu Kyi bagaimanapun menafikan semua tuduhan terhadapnya dengan menyifatkan sebagai tidak masuk akal.-AGENSI