HELSINKI: Perdana Menteri Finland, Sanna Marin menafikan menggunakan dadah selepas tular video dirinya bersama rakan selebriti menyambut parti liar di sebuah kediaman peribadi.
Lapor Daily Mail, pemimpin berusia 36 tahun itu menjelaskan tiada apa yang perlu disembunyikan selepas video menari terkinja-kinja itu menjadi bualan ramai.
“Saya tidak pernah menggunakan dadah, jadi tidak perlu mengambil ujian saringan.
“Saya tidak melihat sebarang bukti mahupun sebarang bahan digunakan di merata tempat di kediaman itu,” katanya dalam sidang akhbar di lapangan terbang.
Marin juga mempertahankan tindakannya dengan mengatakan dia hanya menari, menyanyi dan membuat perkara sah di sisi undang-undang.
“Saya juga tidaklah mabuk teruk sangat. Saya minum (arak) sikit sahaja ,” katanya.
Menurut Marin, dia mengetahui individu yang membocorkan video tersebut yang merupakan seorang pasangan, minggu lalu.
“Asalnya saya percaya video tersebut tidak akan disebarkan sebab acara dibuat di tempat peribadi dan tertutup.
“Namun, saya rasa malu sangat apabila video sudah tersebar,” katanya.
Mengulas video berkenaan, Marin berkata, acara itu diadakan pada waktu petang di sebuah kediaman dengan kehadiran 20 orang.
Katanya, rakaman video yang bocor itu diambil dari Instagram stories sebuah akaun peribadi.
Antara personaliti dan selebriti yang kelihatan menari terkinja-kinja dalam video itu ialah penyanyi Finland, Alma, penyanyi rap, Petri Nygard dan pengacara televisyen, Tinni Wikstrom.
Video berseronok itu menerima kecaman ramai di Finland, seolah-olah menunjukkan Marin tidak cakna dengan isu antarabangsa yang membelenggu dunia seperti krisis di Ukraine.
Disebabkan video itu, ahli Parlimen daripada rakan gabungan Parti Pusat Finland, Mikko Karna menggesa Marin menjalani ujian dadah secara sukarela menerusi ciapan Twitter.