Ringgit mengukuh kepada RM4.246 susulan risiko geopolitik

Ringgit mengukuh kepada RM4.246 susulan risiko geopolitik

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit mengukuh kepada RM4.24 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam,  susulan risiko geopolitik di Asia Barat yang dilihat reda berikutan kemungkinan gencatan senjata antara Israel dan Iran.

Pada pukul 5 petang semalam, ringgit mengukuh kepada 4.2460/2520 berbanding dolar AS daripada 4.2860/4.2900 ketika ditutup pada Isnin lalu.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, harga minyak mentah Brent juga menyusut ke paras AS$69.56 (RM295.42) setong apabila konflik ketenteraan yang dijangka berkurangan dalam tempoh terdekat. 

“Mata wang asing di negara Asia juga mengukuh berbanding dolar. Justeru, dalam jangka masa terdekat ini para pedagang mata wang telah meletakkan situasi tegang di Asia Barat sebagai faktor utama dalam menentukan strategi perdagangan dalam pasaran mata wang. 

“Buat masa ini selera risiko dikalangan para pedagang dan pelabur dilihat mula pulih secara beransur-ansur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, ringgit terus berhadapan tekanan berikutan ketidaktentuan global termasuk dasar tarif AS dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

Beliau menyifatkan keputusan AS untuk mengekalkan tarif sedia ada terhadap beberapa barangan import, termasuk dari Malaysia, sebagai satu faktor yang membataskan pertumbuhan sektor eksport negara. 

“Keadaan ini dijangka mengekang kemasukan mata wang asing dan memberi kesan kepada imbangan dagangan negara.

“Langkah AS yang berterusan ini memberi isyarat bahawa tekanan perdagangan masih berlanjutan dan Malaysia sebagai negara perdagangan terbuka tidak terkecuali menerima kesannya,” katanya. 

“Sementara itu, konflik berpanjangan antara Rusia dan Ukraine terus mengganggu kestabilan harga minyak serta rantaian bekalan global. 

“Tambahan pula, kebimbangan baharu mengenai kemungkinan ketegangan antara Kemboja dan Thailand menimbulkan persoalan terhadap kestabilan politik serantau,” katanya.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil pula berkata, ringgit dijangka pada paras RM4.15 hingga RM4.25 dalam masa terdekat.

“Saya merasakan ringgit tinggi bukan kerana ketegangan geopolitk namun, ringgit telah lama berada pada tahap rendah. 

“Buat masa ini permintaan ringgit agak tinggi kerana telah sekian lama mengalami tekanan jualan,” katanya. 

Jelas beliau, permintaan terhadap dolar yang agak lemah juga faktor ringgit naik dan stabil.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN