Remaja 17 tahun jadi individu termuda terbang solo ke seluruh dunia - Utusan Malaysia

Remaja 17 tahun jadi individu termuda terbang solo ke seluruh dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RADOMIR, BULGARIA: Seorang remaja warga Britain-Belgium, Mack Rutherford, 17, mendarat di Bulgaria semalam, sekali gus menjadi individu termuda yang melakukan penerbangan solo ke seluruh dunia.

Selepas lima bulan dan sehari berlepas dari Bulgaria pada Mac lalu, Rutherford kembali ke lapangan terbang kecil berhampiran bandar Radomir, sejam dari ibu negara Sofia, dan mencipta rekod itu.

“Saya cuba tunjukkan dengan pengembaraan ini, orang muda boleh membuat perubahan, ikuti impian anda.

“Saya tidak pasti ada rekod lain yang ingin saya pecahkan lagi, tetapi kini saya hanya mahu kembali ke sekolah untuk belajar apa yang ketinggalan.

“Saya juga sedikit sedih kerana pengembaraan ini sudah berakhir,” katanya yang lengkap berpakaian sut juruterbang selepas mendarat.

Empat generasi keluarga Rutherford berlatarbelakangkan juruterbang dan dia sendiri berpeluang merasai pengalaman itu ketika berusia tujuh tahun.

Penerbangan Rutherford memecahkan rekod melepasi 54,000 kilometer dalam masa 221 jam penerbangan merentasi 30 negara.

Rutherford juga terpaksa menghadapi suhu sehingga 48 darjah Celcius dan menunggu selama berjam-jam untuk kebenaran penerbangan.

Ujian solonya termasuk melakukan pendaratan kecemasan di pulau Attu yang tidak berpenghuni, barat Alaska, akibat angin kencang.

Kakak dan ibu bapanya, yang berada di lapangan terbang Radomir, berkata bekalan makanannya telah bercampur dengan bahan api pada satu peringkat, memaksanya untuk membuat beberapa kek coklat.

Malah, sebelum Rutherford berlepas pada bulan Mac, persiapannya turut dihalang oleh pencerobohan Russia ke atas Ukraine, memaksa perubahan dalam laluan penerbangan.

Daripada terbang di atas Russia, Rutherford melencong ke selatan melalui Pakistan, India, Korea Selatan dan Jepun sebelum terbang selama 10 jam di atas Lautan Pasifik untuk sampai ke Amerika Syarikat.

“Peringkat paling sukar kerana memerlukan banyak kawalan di semua peringkat, mengawal emosi dan tekanan anda,” kata ibunya, Beatrice de Smet kepada AFP.

Pencapaian Rutherford telah diiktiraf oleh kumpulan Rekod Dunia Guinness, dengan sijil mengesahkan bahawa dia telah mengalahkan rekod yang dicatatkan tahun lalu oleh Travis Ludlow, 18 tahun dari Britain.

Dia juga mencapai kejayaan dalam pesawat ringan, memecah rekod daripada kakaknya, Zara sebagai juruterbang termuda yang melakukannya.

Bagaimanapun, Zara kekal sebagai wanita termuda yang menyelesaikan penerbangan solo keliling dunia, pada usia 19 tahun. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya