PM Thailand yang digantung tugas kini jadi menteri pertahanan

PM Thailand yang digantung tugas kini jadi menteri pertahanan

PRAYUTH CHAN-O-CHA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand yang digantung perkhidmatannya, Prayuth Chan-o-cha menegaskan beliau akan meneruskan tugas sebagai menteri pertahanan.

Kenyataan yang dikongsi dalam media sosial itu merupakan kenyataan pertama Prayuth kepada umum sejak mahkamah mengarahkannya menghentikan tugasnya sebagai perdana menteri bagi membolehkan mahkamah menyemak had penggal perkhidmatannya.

Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan kini memangku jawatan perdana menteri negara ini.

“Saya akan meneruskan tugas dan tanggungjawab saya sebagai menteri pertahanan untuk rakyat dan negara setiap hari,” kata Prayuth menerusi akaun Twitter rasminya kelmarin.

Mahkamah Perlembagaan pada Rabu lalu memutuskan untuk mendengar petisyen yang dibawa oleh parti pembangkang utama mengenai tahun-tahun Prayuth berkhidmat sebagai ketua junta tentera selepas rampasan kuasa pada 2014.

Pembangkang menegaskan, tempoh keseluruhan Prayuth memegang jawatan sebagai perdana menteri perlu dikira semula.

Perlembagaan menetapkan, had penggal lapan tahun untuk setiap perdana menteri berkhidmat dan tidak dapat dipastikan bila mahkamah akan menyampaikan keputusan mengenai semakan tersebut.

Kontroversi mengenai had penggal Prayuth merupakan ‘cerita baharu’ dalam tempoh hampir dua dekad pergolakan politik di Thailand yang menyaksikan berlakunya rampasan kuasa sebanyak dua kali dan siri protes ganas.

Sehingga kini, rakyat Thailand tidak bersetuju negara ini ditadbir tentera dan menzahirkan rasa tidak puas hati tersebut menerusi pelbagai protes demokrasi.

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri memaklumkan Kabinet masih berfungsi seperti biasa walaupun Prayuth digantung perkhidmatannya. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN