Pekerja dipaksa makan telur mentah - Utusan Malaysia

Pekerja dipaksa makan telur mentah

GAMBAR hiasan. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Sebuah syarikat di China mencetuskan kontroversi selepas memaksa pekerja makan telur mentah sebagai hukuman kerana tidak memenuhi sasaran jualan yang ditetapkan.

Dakwaan itu dibuat oleh seorang pelajar universiti dikenali sebagai Du yang menceritakan pengalamannya menjalani latihan amali di sebuah syarikat teknologi di Zhengzhou.

Lapor Oddity Central, Du mendakwa syarikat itu mempunyai peraturan pelik iaitu memaksa pekerja makan telur mentah jika gagal mendapat pesanan mencukupi dalam tempoh masa ditetapkan atau tidak memenuhi jangkaan pihak pengurusan.  

Du juga mendakwa syarikat itu bertindak menamatkan latihan amalinya selepas dia enggan mematuhi peraturan berkenaan.

Malah, dakwanya, pihak pengurusan syarikat turut memaksanya menulis punca penamatan latihan amali itu sebagai `sebab peribadi’ agar firma itu bebas daripada sebarang liabiliti.

Pendedahan Du mengundang kemarahan orang ramai, malah satu video dimuat naik menunjukkan pekerja syarikat itu kelihatan loya ketika cuba makan telur mentah, mencetuskan kekecohan dalam kalangan warganet.

Orang ramai menganggap tindakan itu tidak berperikemanusiaan dan memberi amaran mengenai risiko bahaya yang bakal berlaku jika makan telur mentah.

Malah, mereka turut menggesa pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.         

Sementara itu, beberapa wakil dari syarikat itu dilaporkan tidak ambil peduli dengan kecaman orang ramai.

Mereka hanya mendakwa makan telur mentah ditetapkan dalam buku panduan pekerja, justeru semua pekerja syarikat itu perlu mematuhi peraturan tersebut.

Jabatan buruh daerah Jinshui, bandar Zhengzhou dilaporkan sedang menyiasat kes itu.   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN