KYIV: Loji tenaga nuklear Zaporizhzhia di Ukraine berdepan dengan risiko ancaman bencana yang semakin meningkat hampir setiap hari.
Perkara itu ditegaskan oleh Datuk Bandar Energodar, Dmytro Orlov ketika Ukraine dan Russia saling menuding jari berhubung serangan terbaharu di sekitar kawasan berkenaan.
Energodar, bandar yang menempatkan loji tenaga nuklear terbesar Eropah itu.
Kemudahan itu berdepan serangan berulang kali sejak beberapa minggu lalu sekaligus mencetuskan kebimbangan akan berlaku bencana nuklear.
“Apa yang berlaku di sana secara terang-terang menunjukkan keganasan nuklear dan ia akan berakhir tanpa diduga pada bila-bila masa.
“Risikonya semakin meningkat setiap hari,” katanya dari bandar Zaporizhzhia yang dikuasai Ukraine.
Loji tenaga nuklear Zaporizhzhia yang terletak di tenggara Ukraine dikepung oleh tentera Russia sejak Mac lalu.
Malah, Kyiv menuduh Moscow menempatkan ratusan anggota tentera dan menyimpan senjata di sana.
Menurut Orlov, loji tenaga nuklear itu dibedil peluru mortar hampir setiap hari.
“Situasi di sana amat teruk dan apa yang paling membimbangkan adalah tiada tanda serangan itu akan berkurangan,” katanya.
Tambah Orlov, dalam tempoh 24 jam lalu, bandar Energodar dibedil buat kali pertama sekali gus mengundang kebimbangan kepada individu yang mahu berpindah segera.
Di tengah-tengah kebimbangan keselamatan itu, beliau turut memberi amaran bahawa kemungkinan tidak akan ada kakitangan mencukupi untuk mengendalikan loji tenaga nuklear berkenaan dalam masa terdekat.
UGUTAN
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky sebelum ini menuduh Rusia melakukan ‘ugutan’ nuklear dengan menggunakan loji tersebut untuk ‘menakut-nakutkan’ orang dengan cara yang sangat sinis.
Beliau turut mendakwa tentera Russia bersembunyi di belakang loji itu untuk melancarkan serangan bom ke atas bandar Nikopol dan Marganet yang dikuasai Ukraine.
Namun, pegawai pro-Moscow di kawasan Zaporizhzhia menyalahkan tentera Ukraine yang melakukan serangan tersebut.
Anggota pentadbiran dilantik Moscow, Vladimir Rogov berkata, serangan peluru berpandu disasarkan ke arah kawasan berhampiran tebing sungai Dnipro dan dalam loji tenaga tenaga nuklear berkenaan.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada terdapat kemusnahan atau kemalangan jiwa.
Sungai itu membahagikan kawasan yang diduduki oleh Russia dan kawasan di bawah kawalan Ukraine.
BENCANA NUKLEAR
Kyiv dan Moscow menyalahkan antara satu sama lain berhubung beberapa serangan di loji berkenaan pada bulan ini.
Malah, serangan itu menimbulkan kebimbangan kemungkinan berlakunya bencana nuklear.
Menurut seorang penduduk dari kampung Vyshchetarasivka, Viktor Shabanin, situasi yang berlaku ketika ini membuatkan orang ramai berada dalam keadaan ketakutan.
“Biasanya, angin bertiup ke arah kampung kami. Jadi radiasi akan datang ke arah kami dan masuk ke dalam air,” kata penduduk berusia 57 tahun itu. – AFP