GOWA: Seorang lelaki di Sulawesi Selatan maut akibat mengambil dos ubat berlebihan gara-gara mahu menghilangkan sakit gigi yang dialami selama tiga hari.
Lapor Kompas.com, Azwar Maulana, 29, ditemukan dalam keadaan mulut berbuih di bilik air rumahnya di Dusun Nirannuang, Desa Pakatto.
Ahli keluarga mangsa, Sunarti berkata, pada mulanya, mereka berasa curiga dengan mangsa yang tidak keluar selepas 30 minit di dalam bilik air.
“Kami terpaksa pecahkan pintu kerana panggilan tidak bersahut. Kami terkejut melihat mulutnya ternganga dengan dipenuhi buih dan dia terbaring atas lantai,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Bontomarannu, Hafit Yudin berkata, anggota polis yang tiba di lokasi kejadian membawa mayat mangsa untuk dibedah siasat dan merampas beberapa ubat dalam bentuk tablet dan serbuk untuk dianalisis.
“Setakat ini, kita tidak boleh membuat kesimpulan sama ada mangsa terlebih dos atau sengaja minum racun, walaupun ketika ditemukan mulutnya dalam keadaan berbuih,” jelasnya.
Menurut Hafit, pihak keluarga menuntut mayat mangsa dibawa ke kampung halaman di Kampung Benteng Sawitti untuk dikebumikan selepas enggan dibedah siasat.
“Pihak keluarga enggan menjalankan autopsi, jadi kita tidak dapat menentukan punca kematian sebenar lelaki itu,” katanya.