BEIJING: China mengecam dan menyifatkan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taiwan sebagai `sangat berbahaya’.
Malah, Beijing juga memberi amaran lawatan pemimpin nombor dua dalam senarai pengganti Presiden AS itu, merupakan ancaman kepada kestabilan rantau itu.
Sejurus mengakhiri lawatan ke Malaysia, Pelosi tiba di Taiwan pada lewat Selasa dalam perjalanan bagi menunjukkan solidariti AS dengan wilayah separa autonomi itu.
Taiwan merupakan sebuah negara demokrasi yang berkembang pesat, namun Parti Komunis China (PKC) yang memerintah di tanah besar itu menganggap Taiwan sebagai `sebahagian wilayah yang terpisah’.
Washington tidak mengiktiraf Taiwan sebagai sebuah negara merdeka, namun terikat dengan undang-undang AS untuk menyediakan sumber kepada Taipei bagi tujuan pertahanan diri.
AS TEGAS PENDIRIAN
Pelosi menjelaskan alasan mengadakan lawatan ke Taiwan dalam satu artikel disiarkan di Washington Post, beberapa minit selepas beliau tiba di negara tersebut.
“Kami tidak boleh berdiam diri apabila PKC terus mengancam Taiwan dan demokrasi negara itu,” katanya dalam artikel tersebut.
Kunjungan Pelosi itu menjadikan beliau pemimpin politik berpangkat tinggi AS mengadakan lawatan ke Taiwan dalam tempoh 25 tahun.
Pelosi bersama delegasinya tiba di Lapangan Terbang Songshan di Taipei kelmarin dan ketibaan mereka disambut secara besar-besaran dengan kehadiran Menteri Luar, Joseph Wu dan wakil tertinggi AS di Taiwan, Sandra Oudkirk.
Lawatan Pelosi ke Taiwan turut menjadi bahan perbincangan penduduk seluruh dunia sehingga sohor kini dalam Twitter dengan 1.19 juta ciapan.
Beijing sebelum ini menghantar mesej menggesa Speaker Dewan Perwakilan AS itu membatalkan lawatannya, yang tidak termasuk dalam atur cara lawatan rasminya ke empat negara Asia.
BERMAIN API
China mengutuk sekeras-kerasnya lawatan Pelosi, dengan Kementerian Luar menegaskan tindakan itu menjejaskan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan.
“Lawatan itu `mempunyai impak teruk ke atas asas hubungan politik China-AS, malah secara serius melanggar kedaulatan China dan integriti wilayah.
“Tindakan ini seperti bermain dengan api dan sangat berbahaya. Orang yang bertindak demikian akan musnah,” jelas kementerian itu dalam kenyataan.
Dilaporkan, beberapa pesawat perang China melintasi sempadan yang memisahkan Selat Taiwan sebelum ketibaan Pelosi.
OPERASI KETENTERAAN BERSASAR
Kementerian Pertahanan China memaklumkan pasukan tenteranya diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan akan melancarkan `siri operasi ketenteraan bersasar’ sebagai tindak balas kepada lawatan Pelosi ke Taiwan.
Komando Tentera Pembebasan Rakyat mengumumkan pasukannya mula menjalankan latihan ketenteraan udara dan laut secara bersama berhampiran Taiwan.
Latihan ketenteraan itu termasuk melancarkan ujian peluru berpandu konvensional di timur laut Taiwan.
LANGGAR PERAIRAN TAIWAN
Kementerian Pertahanan Taiwan menegaskan latihan ketenteraan China sebagai reaksi kepada lawatan Pelosi yang jelas melanggar peraturan perairan rantau itu.
“Beberapa kawasan latihan China menceroboh perairan wilayah (Taiwan). Ini adalah langkah yang tidak rasional untuk mencabar perintah antarabangsa,” kata jurucakapnya, Sun Li-Fang.
SEKATAN PERDAGANGAN
Pentadbiran Kastam China mengumumkan penggantungan ke atas import beberapa buah-buahan sitrus dari Taiwan atas dakwaan pengesanan sisa racun serangga berlebihan serta import ikan disebabkan positif ujian Covid-19 pada bungkusan.
Dalam notis berasingan, Kementerian Perdagangan China juga menggantung `eksport pasir semula jadi ke Taiwan’ bermula Rabu tanpa mengemukakan butiran terperinci.
TAIWAN KRITIK LATIHAN TENTERA
Dalam pada itu, Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen mengkritik latihan ketenteraan China dengan menganggapnya sebagai `tidak perlu’.
“Rakyat Taiwan bersikap pragmatik, kami mengalu-alukan ramai delegasi ke Taiwan sejak beberapa tahun lalu. Amalan saling mengunjungi antara sesama rakan sudah wujud dalam budaya layanan mesra kami.
“Bagi saya, latihan ketenteraan adalah reaksi yang tidak perlu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Pelosi.
KOMITMEN AS
Sementara itu, Pelosi berkata, beliau bersama delegasinya tiba `secara aman ke Taiwan’ bagi menunjukkan sokongan kepada wilayah separa autonomi itu.
Katanya, lawatan tersebut juga `tidak sama sekali bercanggah’ dengan dasar one-China.
Malah, beliau juga memaklumkan kunjungan tersebut bagi menyatakan secara jelas AS tidak akan mengabaikan komitmen kepada Taiwan.
“Kami tidak akan meninggalkan komitmen kami kepada Taiwan dan amat berbangga dengan persahabatan yang berkekalan,” katanya dalam majlis bersama Presiden, Tsai Ing-we. – AGENSI