JAKARTA: Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) kelmarin melancarkan latihan ketenteraan bersama terbesar ketika ketegangan di rantau Asia Pasifik terus memuncak.
Latihan ketenteraan yang dinamakan sebagai ‘Super Garuda Shield’ itu dilaksanakan buat pertama kali pada 2007 dengan melibatkan tentera Indonesia dan AS sebelum disertai pasukan tentera dari negara lain pada tahun-tahun berikutnya.
Pada tahun ini, sebanyak 12 negara turut menyertai latihan ketenteraan terbabit termasuk Australia, Jepun dan Singapura, manakala India, Perancis dan United Kingdom (UK) pula menghantar pasukan pemantau.
Lebih 5,000 tentera terlibat dalam latihan ketenteraan selama dua minggu di Kalimantan Timur, Sumatera Selatan dan Kepulauan Riau.
“Kami berharap latihan tersebut berjalan lancar dan semua pihak saling berkongsi strategi dan kemahiran bagi meningkat keupayaan tentera negara masing-masing.
“Hubungan baik yang terjalin antara negara terlibat juga diharap berkekalan sehingga masa akan datang,” kata Ketua Tentera Indonesia, Jeneral Andika Perkasa.
Bercakap soal ketegangan yang berlaku antara China, Taiwan dan AS, Andika menegaskan latihan tersebut tidak harus dilihat berkaitan dengan konflik yang terjadi.
“Kita sudah melaksanakan latihan ketenteraan ini secara tahunan dan dalam apa jua keadaan, tiada kaitan dengan apa-apa situasi mahupun konflik.
“Apa yang menjadikan keamanan di sesebuah negara bukanlah bergantung kepada kekuatan tentera, sebaliknya kerjasama yang dicapai dengan negara lain,” tegasnya.