Kumpulan pemisah mengaku letupkan bom di Sungai Golok

Kumpulan pemisah mengaku letupkan bom di Sungai Golok

PREMIS 7-Eleven yang diletupkan kumpulan pemisah di Sungai Golok, 16 Ogos lalu.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) mengumumkan dalam Facebook mereka adalah dalang di sebalik insiden letupan bom minggu ini di wilayah selatan Thailand. 

Kumpulan pemisah itu berkata, tindakan tersebut dilakukan sebagai tindak balas terhadap dasar kapitalisme yang memberi kesan terhadap peniaga tempatan. 

Menerusi kenyataan yang disiarkan Khamis lalu, kumpulan itu menzahirkan permohonan maaf di atas kehilangan dan kematian ahli keluarga akibat letupan itu. 

BRN menjelaskan, anggota mereka sudah meminta pekerja dan pelanggan di kawasan itu meninggalkan premis perniagaan mereka sebelum bom diletupkan. 

“Sebarang kematian yang berlaku adalah tidak disengajakan dan kami bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden ini,” kata kumpulan itu. 

Selasa lalu, mayat seorang lelaki berusia 21 tahun ditemukan dalam premis 7-Eleven di Sungai Golok, wilayah Narathiwat akibat letupan bom. 

Mangsa, Masarit Mama merupakan seorang pelanggan yang ditemukan dalam keadaan rentung di bawah rak jualan.  

Kumpulan itu mendedahkan mereka sebenarnya menyasarkan kedai serbaneka 7-Eleven dan pasar raya Big C kerana premis itu mewakili kapitalisme yang menghancurkan perniagaan tempatan sehingga banyak kedai terpaksa ditutup. 

“Kedua-dua jenama itu menipu pelanggan dengan membuka lebih banyak cawangan sehingga membunuh perniagaan tempatan. 

“Produk tiruan mereka juga membanjiri pasaran dan menyekat peluang peniaga lain kerana menjual produk pada harga tinggi. 

“Kami juga menyelar tindakan kerajaan Thailand yang menyokong kapitalisme untuk terus berkembang,” jelasnya. 

Menurut laporan media, kumpulan itu mengubah cara mereka bertindak balas dengan kerajaan secara terbuka melalui media sosial kerana mereka melakukan tindakan secara rahsia. 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN