JAKARTA: Timbalan Presiden Indonesia, Maruf Amin memberi gambaran ‘jerung judi online’ semakin berleluasa dan bermaharajalela di negara ini.
Beliau menegaskan aktiviti jenayah itu mesti dibendung segera supaya tiada lagi laporan mengenai individu yang menjadi mangsa akibat terjerat dengan penipuan tersebut.
“Saya minta pihak polis mengambil langkah segera bagi membanteras aktiviti judi dalam talian yang semakin rancak.
“Tindakan Ketua Polis Negara, Listyo Sigit Prabowo yang mahu menghapuskan judi tersebut adalah sangat tepat dan komitmen itu mesti diterjemahkan oleh seluruh anggota polis segera,” katanya lapor CNN Indonesia.
Bagaimanapun, Maruf tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai individu yang terlibat sebagai ‘jerung judi online’ di Indonesia.
Sebelum ini, Listyo mengarahkan kepada semua pegawai polis supaya tidak terlibat dengan judi dalam talian atau mereka berdepan tindakan dibuang kerja.
“Saya ulang, tidak kiralah nama judi apa sekalipun kita tidak boleh berkompromi dengan jenayah itu,” katanya.
Selepas arahan tersebut, anggota polis di beberapa kawasan bertindak secara agresif membanteras aktiviti perjudian sama ada konvensional mahupun dalam talian.
Terkini, tiga suspek yang terlibat dalam judi dalam talian di Utan, wilayah Sumbawa, Nusa Tenggara Timur diberkas ketika sedang leka berjudi.