Isu pekerja: Migrant Care Indonesia harap Malaysia patuhi perjanjian - Utusan Malaysia

Isu pekerja: Migrant Care Indonesia harap Malaysia patuhi perjanjian

PEMBANTU rumah warga Indonesia lebih diminati kebanyakan majikan Malaysia terutama orang Melayu atas faktor budaya dan agama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Organisasi Migrant Care berharap kerajaan Malaysia mematuhi perjanjian dan mengikut semua syarat yang ditetapkan sebelum ini selepas kedua-dua negara bersetuju untuk menyambung semula penghantaran tenaga kerja Indonesia ke Malaysia.

Jurucakap Migrant Care, Anis Hidayah menegaskan, ketetapan yang dipersetujui adalah penting bagi memastikan kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia terjamin dan mereka tidak dieksploitasi untuk tujuan lain.

“Indonesia sudah menetapkan apa yang diperlukan untuk menjamin kebajikan dan melindungi tenaga kerja yang dihantar ke Malaysia.

“Sehubungan itu, diharapkan kerajaan Malaysia akur dengan ketetapan yang dipersetujui supaya tidak timbul lagi isu yang tidak sepatutnya,” katanya seperti yang dilaporkan Kompas.com.

Indonesia dan Malaysia setuju untuk menyambung semula penghantaran tenaga kerja dari negara ini ke Malaysia bermula hari ini,

Pada 13 Julai lalu, Jakarta mengambil keputusan menghentikan sementara penghantara tenaga keja Indonesia ke Malaysia selepas mendakwa Kuala Lumpur tidak mematuhi ketetapan yang dipersetujui.

Menteri Sumber Manusia Malaysia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, persetujuan itu dicapai selepas kedua-dua negara sepakat untuk mengintegrasi sistem sedia ada antara Jabatan Imigresen dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) bagi pengambilan Perkhidmat Domestik Indonesia (PDI).

Beliau berkata, integrasi sistem itu akan berperanan sebagai saluran tunggal pengambilan dan kemasukan PDI ke Malaysia dan bakal beroperasi dalam masa tiga minggu lagi di bawah pengawalseliaan Kumpulan Kerja Bersama Malaysia Indonesia.

Sementara itu, Anis menegaskan, semua pihak perlu saling memantau jika Malaysia benar-benar mematuhi ketetapan yang dipersetujui atau tidak.

“Kita tidak mahu hubungan dua negara ini terjejas, maka adalah lebih baik jika menjalin kerjasama yang jelas,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN