Penduduk kecewa tindakan pengosongan sebelum tarikh rayuan

Penduduk kecewa tindakan pengosongan sebelum tarikh rayuan

kampung sungai baru
Penduduk Kampung Sungai Baru bimbang jaminan kerajaan untuk terus menempatkan mereka semula selepas kawasan itu dibangunkan tidak dapat dilaksanakan.– MINGGUAN/SHIDDIEQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Sungai Baru di sini kecewa tindakan pengosongan rumah mereka tetap diteruskan walaupun rayuan belum didengar di mahkamah yang dijadualkan pada 3 Oktober ini.

Rata-rata penduduk merayu agar pihak berkuasa memberi pertimbangan dan mendengar keputusan rayuan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan pengosongan dilaksanakan di kawasan tersebut.

Seorang penduduk, Noraide Hariani Yunus, 43, berkata, tindakan tergesa-gesa mengosongkan kediaman tanpa mendengar suara penduduk hanya menimbulkan kekeliruan dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan mereka.

“Kenapa rumah perlu dikosongkan dahulu kemudian baru dengar rayuan? Sepatutnya tunggu dulu keputusan rayuan, barulah boleh buat tindakan lanjut,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Suasana tegang berlaku di kawasan luar Kampung Sungai Baru semalam apabila baki penduduk diarah mengosongkan kediaman mereka.

Ia selepas penduduk mendesak agar pihak berkuasa membenarkan mereka masuk ke kawasan perumahan berkenaan.

Kekecohan meningkat apabila Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman cedera di kepala dipercayai dilontar objek ketika sedang mengawal keadaan.

Sebagai rekod, kawasan Kampung Sungai Baru terbabit dalam projek pembangunan semula merangkumi pembinaan kondominium dan pembangunan komersial.

Pengambilan balik tanah dibuat di bawah peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi tujuan pembangunan awam.

Dalam pada itu, Noraide Hariani berkata, ramai penduduk yang masih belum mendapat rumah ganti atau pampasan de­ngan jumlah yang sewajarnya.

“Ada yang masih belum dapat rumah langsung. Jadi, mereka hendak pindah ke mana? Ada yang mohon rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi tak dapat,” dakwanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ismail, 50, berkata, dia berharap budi bicara pihak pemaju untuk melanjutkan tempoh pengosongan selepas tempoh rayuan dibuat.

“Biarlah arahan pengosongan dibuat selepas rayuan dan berilah kami sedikit masa lagi,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×