BANGKOK: Bekas presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa yang kini hidup sebagai ‘pelarian’ di Thailand dikatakan bersiap sedia untuk pulang ke tanah airnya di Colombo.
Berita mengenainya disiarkan selepas beliau tiba di Thailand dari Singapura kira-kira seminggu lalu, selepas melarikan diri daripada penunjuk perasaan yang menyerbu kediamannya di Colombo.
Rajapaksa pada mulanya melarikan diri ke Maldives selepas dihalau keluar oleh 100,000 penunjuk perasaan yang mendesak beliau meletak jawatan.
Tidak lama selepas itu, presiden yang digulingkan itu terbang ke Singapura, menyaksikan beliau diberikan kediaman sementara tanpa sebarang perbincangan tentang pengampunan atau penempatan jangka panjang.
Rajapaksa tiba di Thailand pada 11 Ogos lalu selepas visa Singapura tamat dan Bangkok mengesahkan akan menerima kehadirannya tanpa sebarang permohonan visa.
Polis menasihati Rajapaksa untuk kekal berada di hotelnya yang terletak di tengah Bangkok atas faktor keselamatan memandangkan ramai penduduk tempatan menentang kehadiran beliau di Thailand.
Pemimpin itu merancang untuk pulang ke negara asalnya pada Rabu ini, menurut laporan Sri Lanka News First minggu ini.
Sesetengah media Asia Selatan mendakwa bahawa Rajapaksa juga sudah memohon kad hijau untuk bermastautin di Amerika Syarikat (AS).
Kemelut politik dan ekonomi Sri Lanka menjadi huru-hara pada April lalu selepas negara itu kehilangan bekalan elektrik selama 13 jam, gangguan bekalan paling lama pernah direkodkan.
Sejak itu, Sri Lanka tidak mampu membayar bagi mengimport barangan keperluan seperti bahan api ubat dan barangan keperluan lain.
Negara pulau itu gagal membayar hutang asingnya yang berjumlah AS$51 bilion (RM228 bilion) pada April lalu dan sedang mendapatkan bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) selepas beberapa bulan rakyatnya mengalami kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan.
Dalam keadaan inflasi yang berterusan, bank pusat Sri Lanka memberi amaran Khamis lalu bahawa ekonomi negara itu boleh merekodkan penguncupan sehingga lebih lapan peratus tahun ini dengan inflasi memuncak pada 65 peratus.
Rajapaksa dituduh gagal menguruskan ekonomi negara pulau itu sehingga kehabisan pertukaran asing untuk membiayai import penting, sekali gus membawa kepada kesukaran teruk untuk 22 juta penduduknya, dengan empat daripada lima rakyat Sri Lanka terpaksa mengikat perut. – AGENSI