LONDON: Pakar perubatan memberi amaran suhu panas melampau disebabkan oleh krisis iklim berisiko meningkatkan lagi kes kanser kulit yang berpotensi membawa maut seperti melanoma.
United Kingdom (UK) merekodkan suhu paling tinggi iaitu 40.2 darjah Celsius pada bulan lepas ketika para saintis memaklumkan gelombang haba dan cuaca panas melampau berkemungkinan berterusan.
Lapor The Guardian, pakar perubatan kini menegaskan perubahan iklim akan memberi kesan jangka panjang sekiranya orang ramai menghabiskan lebih banyak masa di bawah sinaran matahari dan terdedah kepada sinaran ultraviolet (UV).
Profesor onkologi perubatan di Universiti Sheffield, Sarah Danson menyuarakan kebimbangan suhu panas melampau akan menyebabkan peningkatan kes melanoma.
“Sebagai seorang doktor yang merawat pesakit melanoma, saya bimbang trend berterusan pada cuaca panas melampau ini akan membawa kepada lebih banyak kes melanoma dan kematian akibat penyakit itu,” katanya.
Saintis perubatan yang mengetuai pasukan penyelidik melanoma di Universiti Leeds, Julia Newton-Bishop berkata, melanoma pada dasarnya disebabkan oleh selaran matahari.
“Cuaca panas ini sangat melampau sehingga saya bimbang selaran matahari akan meningkat dan seterusnya berlaku kejadian melanoma,” katanya.
Berdasarkan data dari Kajian Kanser UK, kadar kematian akibat kanser kulit dalam kalangan lelaki di Britain meningkat lebih tiga kali ganda sejak 1970-an.
Malah, peningkatan juga direkodkan dalam kalangan wanita.
Difahamkan, peningkatan itu mungkin disebabkan oleh beberapa faktor termasuk pendedahan sinaran matahari akibat pakej percutian.
Ketua Eksekutif Kajian Kanser UK, Michelle Mitchell memberi amaran pendedahan kepada selaran matahari sekali dalam setiap dua tahun mampu meningkatkan risiko kanser kulit tiga kali ganda.