LUCKNOW/BHUBANESHWAR: Sekurang-kurangnya 50 orang maut akibat banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat yang melanda utara dan timur India sejak tiga hari lalu.
Hujan lebat menjejaskan ratusan kampung dan rumah selain menyebabkan penduduk terkandas ketika pasukan penyelamat berusaha memindahkan mangsa yang terselamat.
Menurut pihak berkuasa, hujan lebat mencetuskan tanah runtuh dan banjir di negeri Himachal Pradesh sepanjang tiga hari lalu sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 36 terkorban.
Satu kenyataan rasmi kerajaan memaklumkan sekurang-kurangnya empat orang maut dan 13 lagi hilang akibat hujan berterusan di negeri Uttarakhand.
“Kami sudah mengerahkan helikopter untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di kawasan terpencil akibat insiden berkaitan hujan ini.
“Operasi menyelamat sedang giat dijalankan,” kata pegawai di jabatan pengurusan bencana Uttarakhand, Ranjit Kumar Sinha.
Seorang pegawai Odisha menyatakan sekurang-kurangnya enam orang maut di tengah-tengah hujan lebat berterusan di negeri itu.
Banjir menjejaskan hampir 800,000 orang dan mengakibatkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal di Odisha, dengan hujan lebat mengganggu bekalan elektrik, air serta merosakkan infrastruktur jalan raya.
Setakat ini, pihak berkuasa di negeri itu sudah memindahkan hampir 120,000 penduduk dari kawasan yang terjejas.
Pihak berkuasa di daerah Ramgarh, negeri timur Jharkhand memaklumkan lima mangsa dihanyutkan arus deras di sungai Nalkari pada Sabtu lalu.
Pegawai daerah Ramgarh, Madhvi Mishra berkata, pasukan penyelamat menemukan empat mayat mangsa setakat ini.
Pada awal bulan ini, jabatan meteorologi meramalkan India berkemungkinan menerima taburan hujan sederhana pada Ogos dan September, merujuk kepada hasil tanaman baik secara keseluruhan di ekonomi ketiga terbesar Asia yang bergantung pada pertanian untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi. – REUTERS











