fbpx

345 juta penduduk dunia alami kebuluran terburuk

PENDUDUK Yaman menerima bantuan makanan dan bekalan untuk memenuhi keperluan asas di sebuah kem di daerah Hays, wilayah barat Hodeida pada Julai lalu. - AFP

BAGHDAD: Bilangan penduduk yang berdepan krisis bekalan makanan tidak mencukupi di seluruh dunia dilaporkan meningkat dua kali ganda, iaitu kepada 345 juta orang sejak tahun 2019.

Menurut Program Makanan Sedunia (WFP) peningkatan itu disebabkan pandemik Covid-19, konflik dan perubahan iklim.

Pengarah rantau WFP, Corinne Fleischer berkata, seramai 135 juta penduduk mengalami kebuluran serius di seluruh dunia sebelum krisis koronavirus.

Jelasnya, angka itu meningkat sejak itu dan dijangka bertambah lagi disebabkan perubahan iklim dan konflik.

Impak cabaran alam sekitar dilihat sebagai satu lagi faktor ketidakstabilan yang boleh mendorong krisis makanan berlaku sekaligus menjurus kepada konflik dan migrasi secara besar-besaran.

“Dunia tidak mampu menghadapi situasi ini lagi. Kita sedang mengalami 10 kali ganda migrasi di seluruh dunia kerana perubahan iklim dan konflik malah sudah tentu ia berkaitan.

“Jadi, kami amat bimbang mengenai kesan gabungan Covid, perubahan iklim dan perang di Ukraine,” katanya.

Menurut Fleischer, krisis Ukraine memberi kesan yang amat besar kepada di Asia Barat dan Afrika Utara memandangkan kedua-duanya bergantung pada import negara itu dan lokasi berhampiran dengan Laut Hitam.

“Misalnya, Yemen mengimport 90 peratus keperluan makanannya dan mereka mengambil kira-kira 30 peratus dari Laut Hitam,” katanya.

WFP menyokong 13 juta daripada jumlah 16 penduduk yang memerlukan bantuan makanan.

Bagaimanapun, bantuan itu hanya menampung separuh keperluan harian individu berikutan mengalami kekurangan dana.

Kos meningkat sebanyak 45 peratus secara purata sejak Covid-19 dan penderma Barat berdepan cabaran ekonomi besar dengan perang di Ukraine. – REUTERS

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN