BEIJING: Sekurang-kurangnya 16 orang maut dan puluhan lagi hilang dalam banjir kilat melanda barat laut China.
Media tempatan melaporkan hujan lebat menyebabkan tanah runtuh dan paras air sungai meningkat.
Berdasarkan laporan penyiar CCTV, lebih 6,200 penduduk dari enam perkampungan terjejas akibat banjir yang berlaku di kawasan pergunungan di daerah Datong, wilayah Qinghai.
“Setakat tengahari tadi, seramai 16 orang maut dan 36 orang lagi hilang,” jelas laporan itu.
Menurut laporan itu, kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan untuk mencari mangsa.
Banjir berlaku ketika China dilanda musim panas melampau, dengan suhu mencecah 40 darjah celsius di beberapa bandar.
Sebuah pusat pengurusan bencana ditubuhkan untuk mengatur perkhidmatan kecemasan yang diperlukan.
Tambah laporan itu, hujan lebat yang berlaku pada malam Rabu mencetuskan situasi demikian.
Banjir besar yang melanda selatan China pada Jun lalu mengakibatkan lebih setengah juta penduduk kehilangan tempat tinggal dan kerugian mencecah kira-kira AS$250 juta (RM1.11 bilion). – AFP











