Wickremesinghe seru bersatu padu tangani krisis negara - Utusan Malaysia

Wickremesinghe seru bersatu padu tangani krisis negara

PENUNJUK perasaan membakar patung Ranil Wickremesinghe ketika protes di hadapan sekretariat bangunan presiden di Colombo, Sri Lanka. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Presiden Sri Lanka baharu, Ranil Wickremesinghe menyeru semua pihak bersatu padu mengorak langkah kehadapan.

Lapor Al Jazeera, Wickremesinghe yang juga Perdana Menteri sebanyak enam kali, menggesa pemimpin lain termasuk pembangkang untuk bekerjasama menangani krisis kewangan negara.

“Tak semestinya perlu menyatakan betapa sukarnya keadaan negara dari segi ekonomi. Kita perlu melaksanakan program baharu untuk maju ke hadapan.

“Oleh itu, saya kini memohon semua pihak mengadakan perbincangan bersama untuk tindakan lanjut menangani krisis dihadapi negara,” katanya ketika berucap di Parlimen.

PRESIDEN SRI LANKA BAHARU 

Wickremesinghe dipilih sebagai Presiden Sri Lanka baharu bagi menggantikan Gotabaya Rajakapaksa yang melarikan diri ke luar negara dan meletakkan jawatan.

Beliau berjaya memperoleh sebanyak 134 undi, manakala pesaing utamanya, Dullas Alahapperuma mendapat 82 undi dalam undian rahsia itu.

Ketua parti Janatha Vimukti Peramuna, Anura Dissanayake pula hanya memperoleh tiga undi daripada partinya sendiri.

Calon hanya memerlukan 112 undi untuk meraih kemenangan.

Seorang ahli Parlimen, GG Ponnambalam yang merupakan Ketua Barisan Rakyat Kebangsaan Tamil mengundi berkecuali, manakala seorang lagi penggubal undang-undang, Selvaraja Gajendran tidak menghadiri sesi pemilihan itu.

Dalam pada itu, Wickremesinghe berharap menjalani upacara mengangkat sumpah dalam satu majlis ringkas di bangunan Parlimen yang dikawal ketat.

Terdahulu, Wickremesinghe, Alahapperuma dan Anura masing-masing menamakan Menteri Pelancongan, Harin Fernando serta ahli Parlimen, Dilan Perera dan Vijitha Herath sebagai wakil untuk memantau proses pengiraan undi berkenaan.

Memetik laporan BBC, sebelum ini, Wickremesinghe yang mengambil alih sebagai pemangku presiden, turut dicalonkan oleh parti pemerintah bagi menggantikan Rajapaksa.

Malah, perdana menteri itu juga dilihat mendahului saingan tiga penjuru itu.

Namun, penunjuk perasaan membantah pencalonan Wickremesinghe dan mahu beliau juga mengundur diri seperti dilakukan oleh Rajapaksa.

Wickremesinghe kini mempunyai mandat memenuhi baki penggal presiden terdahulu yang sepatutnya berakhir pada November 2024.

Sri Lanka kini menjadi muflis dan bergelut mencari dana untuk membiayai import paling penting seperti bahan api, makanan dan ubat-ubatan.

Negara itu memerlukan kerajaan yang stabil untuk meneruskan rundingan terhenti dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi pakej bailout.

Pentadbiran dan keluarga Rajapaksa yang memerintah Sri Lanka selama hampir dua dekad dipersalahkan atas krisis berlaku ketika ini di negara tersebut.

Minggu lalu, Rajapaksa melarikan diri ke Maldives selepas puluhan ribu penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasminya dan bangunan kerajaan.

Penunjuk perasaan juga menuntut pemimpin politik termasuk Wickremesinghe meletakkan jawatan.

Rajapaksa kemudian meninggalkan Maldives dengan menuju ke Singapura dan secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya pada Khamis lalu.

JANJI TERUSKAN PROTES

Beberapa penganjur protes sebelum ini berjanji untuk terus melakukan demonstrasi sekiranya Wickremesinghe dipilih sebagai presiden baharu Sri Lanka.

Ini berikutan ramai menyatakan pemimpin itu mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Rajapaksa.

“Ketika mula berkuasa, beliau menyatakan akan mengambil tindakan terhadap semua orang termasuk Rajapaksa, namun tidak pernah melakukan apa-apa.

“Jadi, tidak munasabah memikirkan bahawa rakyat akan masih mempercayainya lagi,” kata pelajar dikenali sebagai Anjalee Wanduragala.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya