Sumber ekosistem bumi bakal lenyap beberapa tahun akan datang

Sumber ekosistem bumi bakal lenyap beberapa tahun akan datang

GAMBAR pemandangan udara menunjukkan kawasan hutan yang ditebang di Amazon, Brazil. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Earth Overshoot Day menandakan peristiwa penting bahawa manusia menggunakan semakin banyak sumber ekosistem bumi untuk meneruskan kehidupan.

Malah, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi amaran sumber itu mungkin tidak mencukupi menjelang beberapa tahun lagi.

Menurut Rangkaian Jejak Global dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), hari tersebut menunjukkan manusia sudah menggunakan `semua ekosistem yang boleh dijana semula dalam tempoh setahun’.

“Sejak 1 Januari hingga semalam, manusia dilaporkan menggunakan sebanyak mungkin sumber alam semula jadi yang boleh diperbaharui bumi ini sepanjang tahun.

“Itulah sebabnya, kali ini, tarikh 28 Julai ditetapkan sebagai Earth Overshoot Day,” kata Presiden Rangkaian Jejak Global, Mathis Wackernagel.

Jelas beliau, meskipun bumi masih mempunyai banyak bekalan, manusia tidak boleh menggunakan sumber tersebut secara berlebihan untuk selama-lamanya.

“Sama seperti wang, kita boleh berbelanja lebih daripada yang ada untuk seketika waktu sehingga kita kehabisan wang,” katanya.

Berdasarkan ukuran dikeluarkan penyelidik pada awal tahun 1990an, sebanyak 1.75 bumi diperlukan untuk menyediakan sumber secara mampan kepada penduduk dunia.

Menurut Rangkaian Jejak Global, tarikh Earth Overshoot Day kali ini jatuh lebih awal sejak tempoh 50 tahun lalu.

TIDAK SEKATA

Pada 2020, hari tersebut terpaksa ditangguhkan tiga minggu disebabkan pandemik Covid-19 sebelum kembali ke tahap pra-pandemik.

“Bebannya tidak tersebar secara sekata. Sekiranya semua manusia hidup seperti warga Amerika, sudah tentu tarikh itu akan jatuh lebih awal iaitu pada 13 Mac,” kata Wackernagel.

Dalam pada itu, dua NGO itu memaklumkan sistem pengeluaran makanan dan jejak ekologi yang besar menjadi antara punca berlakunya situasi berkenaan.

“Secara keseluruhannya, lebih separuh daripada biokapasiti bumi (55 peratus) digunakan untuk menghasilkan makanan kepada manusia,” jelas NGO tersebut.

Malah, jurucakap WWF Perancis, Pierre Cannet berkata, sebahagian besar makanan dan bahan mentah digunakan untuk memberi makanan kepada haiwan dan haiwan yang dimakan.

“Di negara Kesatuan Eropah (EU) pula, sebanyak 63 peratus tanah pertanian secara langsung dikaitkan dengan pengeluaran haiwan,” katanya.

Sementara itu, NGO berkenaan menegaskan pertanian menyumbang kepada penebangan hutan, perubahan iklim dengan pelepasan gas rumah hijau, kehilangan biodiversiti dan kemusnahan ekosistem ketika menggunakan sebahagian besar sumber air.

Berdasarkan nasihat saintifik, NGO tersebut turut menyokong pengurangan penggunaan daging di negara-negara kaya.

Menurut jurucakap Rangkaian Jejak Global, Laetitia Mailhes, sekiranya penduduk boleh mengurangkan penggunaan daging kepada separuh, maka tarikh Earth Overshoot Day boleh dialihkan sebanyak 17 hari.

“Langkah mengehadkan pembaziran makanan akan melanjutkan tarikh itu sebanyak 13 hari, ini mampu membawa signifikan.

“Namun, kira-kira satu pertiga daripada jumlah makanan dibazirkan oleh rakyat seluruh dunia,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya