Sri Lanka buntu, isytihar darurat sekali lagi

Sri Lanka buntu, isytihar darurat sekali lagi

TENTERA Sri Lanka mengawal keselamatan di bangunan Parlimen di Colombo.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Pemangku Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe mengisytiharkan darurat di negara itu menjelang proses pemilihan presiden baharu, lapor Reuters.

Sebelum ini, Wickremesinghe mengumumkan tempoh darurat beberapa kali sejak April lalu, ketika pentadbirannya berusaha meredakan kekacauan sosial dan menangani krisis ekonomi yang mencengkam negara pulau itu.

“Ia adalah wajar dilakukan demi kepentingan keselamatan awam, perlindungan ketenteraman awam serta penyelenggaraan bekalan dan perkhidmatan penting untuk kehidupan masyarakat,” tulis notis kerajaan yang dikeluarkan Ahad lalu.

Minggu lalu, Wickremesinghe turut mengisytiharkan darurat selepas bekas Presiden, Gotabaya Rajapaksa melarikan diri ke luar negara daripada pemberontakan rakyat terhadap kerajaan.

Rajapaksa melarikan diri ke Maldives dan Singapura minggu lalu, selepas ribuan peserta protes antikerajaan berhimpun di jalanan serta menawan pejabat rasmi.

Parlimen menerima peletakan jawatan Rajapaksa Jumaat lalu, dan bersidang sehari kemudian bagi memulakan proses pemilihan Presiden baharu dengan undian ditetapkan Rabu ini.

Wickremesinghe yang mengangkat sumpah sebagai pemangku presiden Jumaat lalu, mengisytiharkan darurat baharu menerusi peruntukan undang-undang khusus yang belum diumumkan oleh kerajaan.

Darurat sebelum ini digunakan untuk mengerahkan tentera menangkap individu, menggeledah harta persendirian dan meredakan bantahan awam.

Parlimen Sri Lanka yang bermesyuarat Sabtu lalu, turut membincangkan penghantaran bahan api untuk memberikan sedikit kelegaan kepada negara yang dilanda krisis.

Suasana di ibu negara Sri Lanka, Colombo kekal tenang pagi semalam, dengan lalu lintas berjalan lancar.

Bagaimanapun, Penyelidik Kanan di Pusat Alternatif Dasar, Bhavani Fonseka berkata, pengisytiharan darurat merupakan tindak balas lemah oleh pihak kerajaan kerana langkah itu terbukti tidak berkesan sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN