SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura melanjutkan visa Gotabaya Rajapaksa bagi membenarkan bekas presiden Sri Lanka itu tinggal di negara ini selama dua minggu lagi.
Memetik laporan akhbar Straits Times, pas lawatan jangka pendek Rajapaksa dilanjutkan, sehingga membolehkan pemimpin itu tinggal di Singapura sehingga 11 Ogos depan.
Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura masih belum memberi sebarang maklum balas mengenai perkara itu.
Sebelum ini, pihak berkuasa memaklumkan bekas presiden itu dibenarkan memasuki Singapura dalam `awatan peribadi’ dan tidak memohon suaka.
Rajapaksa meninggalkan Sri Lanka pada 13 Julai lalu selepas kediaman rasmi beliau diserbu oleh ribuan penunjuk perasaan yang mengadakan protes selama beberapa bulan akibat negara dilanda krisis kewangan terburuk.
Beliau mula-mula melarikan diri ke Maldives dengan menaiki pesawat tentera dan kemudian tiba di Singapura pada 14 Julai.
Sementara itu, jurucakap Kabinet Sri Lanka, Bandula Gunawardena menegaskan Rajapaksa tidak bersembunyi dan dijangka pulang ke Sri Lanka.
Namun, katanya, kerajaan tidak dimaklumkan mengenai rancangan perjalanannya. – AFP