Ratusan juta penduduk berisiko alami kebuluran

Ratusan juta penduduk berisiko alami kebuluran

GAMBAR mengenai pelarian di Congo yang dibekalkan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.-ICRC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Ratusan juta penduduk berisiko mengalami kebuluran dalam beberapa bulan akan datang disebabkan kemiskinan tegar, ketidaksamaan dan ketidakjaminan makanan meningkat terutamanya di bahagian Afrika dan Asia Barat.

Konflik di Ukraine malah dikatakan turut menyumbang kepada kenaikan mendadak harga bahan api, baja dan makanan di seluruh dunia.

Ketua Pengarah Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Robert Mardini berkata, walaupun badan kemanusiaan berulang kali membangkitkan isu tersebut, namun masih tiada penyelesaian berskala besar untuk mengurangkan tekanan yang ditimbulkan akibat konflik di Ukraine.

Sedangkan, katanya, penduduk dunia sangat bergantung kepada eksport bijirin dari Rusia dan Ukraine.

“Kami menghadapi situasi sekuriti makanan global yang mendesak dan semakin merosot, terutamanya di bahagian Afrika dan Asia Barat.

“Konflik bersenjata, ketidakstabilan politik, kejutan iklim dan impak sekunder pandemik Covid-19 melemahkan kapasiti untuk bertahan dan pulih daripada kejutan. Kesan akibat konflik bersenjata di Ukraine memburukkan lagi keadaan yang sudah kritikal.

“Keadaan adalah mendesak, dan tempoh masa yang tinggal untuk bertindak semakin mengecil. Tanpa usaha bersepadu, keadaan ini berisiko menjadi krisis kemanusiaan yang tidak dapat dipulihkan dengan kesan yang tidak dapat dibayangkan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mardini, negara yang akan terjejas paling teruk adalah kawasan yang sudah menghadapi krisis kemanusiaan disebabkan oleh peperangan atau ketidakstabilan sejak berdekad-dekad lamanya seperti Syria, Yaman, Mali, Ethiopia, Somalia dan Afghanistan.

“Kanak-kanak akan terjejas paling teruk akibat krisis makanan. Di Somalia, sebagai contoh, bilangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang mengalami Malnutrisi Akut Teruk dengan komplikasi perubatan yang dimasukkan ke Pusat Penstabilan kendalian ICRC telah meningkat hampir 50 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kenaikan harga makanan menyebabkan banyak keluarga membuat keputusan menghentikan persekolahan anak-anak kerana tidak lagi mampu membayar yuran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya