Rakyat `berpesta' di kediaman Rajapaksa  - Utusan Malaysia

Rakyat `berpesta’ di kediaman Rajapaksa 

PENUNJUK perasaan berkumpul dalam perkarangan istana Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa di Colombo. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Pemimpin gerakan protes anti kerajaan berjanji untuk terus tinggal di kediaman Presiden dan Perdana Menteri Sri Lanka sehingga mereka benar-benar berundur dari jawatan tertinggi itu.

Penegasan itu disuarakan sehari selepas Gotabaya Rajapaksa dan Ranil Wickremesinghe bersetuju untuk meletak jawatan sekaligus meninggalkan negara itu dalam keadaan huru hara politik.

“Presiden dan Perdana Menteri harus meletak jawatan malah kerajaan sedia ada perlu dibubarkan,” kata Ruwanthie de Chickera dalam sidang akhbar di lokasi protes di Colombo.

Ruwanthie menegaskan penunjuk perasaan tidak akan sesekali meninggalkan kediaman rasmi kedua pemimpin itu sehingga peletakan jawatan. 

Terdahulu, ribuan penunjuk perasaan menyerbu kediaman dan pejabat Rajapaksa serta kediaman rasmi Wickremesinghe.

Selepas menyerbu pagar istana presiden, sekumpulan penunjuk perasaan dilihat berjalan melalui biliknya dengan beberapa orang lagi dilihat melompat ke dalam kolam renang di kediamannya.

Penunjuk perasaan yang lain dilihat ketawa dan bersantai di bilik tidur mewah kediaman itu, dengan salah seorang daripada mereka mendakwa memegang seluar dalam Rajapaksa.

Demonstrasi itu diadakan ekoran ketidakupayaan kedua-dua pemimpin berkenaan menangani krisis ekonomi terburuk yang meletus menjadi keganasan.  

Sebelum ini, Wickremesinghe berkata, beliau akan berundur untuk membenarkan kerajaan sementara mengambil alih.

Speaker Parlimen, Mahinda Yapa Abeywardena menerusi satu kenyataan pula memaklumkan Rajapaksa dijangka meletak jawatan pada 13 Julai ini.

* DI MANA RAJAPAKSA ? 

Rajapaksa yang hilang dari khalayak ramai sejak Jumaat lalu, dikatakan tidak langsung menyebut secara spesifik mengenai isu peletakan jawatan.

Pejabat Wickremesinghe pula memaklumkan pemimpin itu akan meletak jawatan walaupun beliau dan Rajapaksa gagal dikesan sehingga kini.

Difahamkan, Rajapaksa sudah menaiki kapal di pelabuhan Colombo dan dibawa ke perairan selatan pulau itu.

Sabtu lalu, Mahinda berkata, keputusan Rajapaksa untuk meletak jawatan diambil untuk memastikan peralihan kuasa secara aman.  

 * PEMANGKU PRESIDEN 

Sementara itu, beberapa pakar Perlembagaan berkata, sekiranya Rajapaksa dan Wickremesinghe meletak jawatan maka langkah seterusnya adalah speaker dilantik sebagai pemangku presiden.   

Parlimen akan mengadakan pengundian presiden baharu dalam tempoh 30 hari bagi melengkapkan penggal Rajapaksa. – REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN