JAKARTA: Usul supaya waktu masuk kerja ke pejabat diubah bagi mengurangkan masalah kesesakan trafik di Jakarta dinilai tidak dapat menyelesaikan masalah itu secara kekal.
Ketua Pengawasan Lalu Lintas Indonesia (ITW), Edison Siahaan berkata, pihak berkepentingan sepatutnya mengusulkan cadangan yang lebih efektif dan boleh digunakan bagi jangka panjang.
“Usul ubah waktu masuk kerja hanya boleh dilakukan pada waktu tertentu sahaja dan tidak akan menjadi penyelesaian yang kekal.
“Masalah kesesakan trafik yang berlaku di Jakarta ini adalah disebabkan kawalan jumlah kenderaan yang lemah.
“Ruang jalan di bandar ini sudah tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang semakin banyak hari demi hari, sekali gus menyebabkan masalah kesesakan yang seperti tiada akhirnya,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Selain itu, sikap pengguna jalan raya yang masih di takuk lama menyebabkan masalah berkenaan tidak akan selesai.
“Jadi, langkah yang paling efektif untuk mengurangkan kesesakan trafik adalah mengurangkan jumlah kenderaan, bukan hanya pergerakan,” ujar Edison.
Jelas beliau, bagi mengurangkan jumlah kenderaan, sistem pengangkutan awam di Jakarta juga perlu beroperasi dengan efisien.
Terdahulu, Ketua Pengarah Lalu Lintas Polis Metro Jaya, Latif Usman mengusulkan supaya waktu masuk kerja ke pejabat di Jakarta diubah bagi mengurangkan kesesakan trafik.
Usul itu dibuat berdasarkan analisis yang menunjukkan kesesakan berlaku akibat orang ramai berpusu-pusu pergi ke tempat kerja dan pada masa sama, sesi persekolahan bermula.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya waktu masuk kerja diubah agar semua pergerakan tidak tertumpu pada satu masa yang sama.