Hencang buah keras, kegemaran Mat Kilau

Hencang buah keras, kegemaran Mat Kilau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika tidak kerana keprihatinan institusi diraja, mungkin tiada siapa mengenal lagi permainan warisan Pahang yang pernah menjadi kesukaan pahlawan tersohor, Mat Kilau iaitu hencang buah keras.

Permainan berteraskan ilmu pendekar yang satu ketika dahulu menjadi kegemaran rakyat dari istana hingga ke kampung, kini di ambang kepupusan selepas lebih seabad mewarnai sejarah negeri ini.

Namun, sinar harapan kembali menyala apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mencemar duli mencuba permainan itu dalam program Kembara Pahang 1.0 di Rumah Warisan Kampung Raja, Chenor baru-baru ini.

Kehadiran baginda memberi nafas baharu kepada usaha memartabatkan semula permainan tradisi Melayu lama yang kian luput dek perubahan zaman dan ketiadaan pewaris mahir.

Menurut Tokoh Budaya Orang Hidup Kebangsaan, Datuk Dr. Aripin Said, hencang buah keras bukan sekadar permainan, tetapi suatu seni yang mencerminkan falsafah hidup, kekuatan fizikal dan kehalusan budaya orang Melayu Pahang.

“Permainan ini menguji kecekapan silat kerana pemain perlu menguasai gerakan seperti helang melayang, naga libas, patukan tedung dan sambar segara sebelum dapat mengencang buah keras dengan tepat dan bergaya,” katanya.

ACARA TETAP MAJLIS ISTIADAT
Hencang buah keras dipercayai diperkenalkan oleh Tok Tuan, seorang bangsawan berketurunan Bugis dari Makasar sekitar tahun 1720 yang membuka penempatan di Kampung Makasar, Pekan.

Dr. W. Linehan dalam karya klasik Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society (JMBRAS) pada 1936 turut merekodkan betapa popularnya permainan ini di bawah pemerintahan empat Sultan Pahang moden bermula daripada Sultan Ahmad hingga Sultan Abu Bakar.

“Ketika itu, permainan ini menjadi acara tetap dalam majlis istiadat menyambut keberangkatan sultan dan pembesar negeri ke kampung-kampung,” katanya.

Peralatan yang digunakan ialah dua biji buah keras jantan dan betina berbentuk telur ayam, sepasang penyepit dan pelapik khas.

Mat Kilau merupakan antara pendekar yang mahir dalam permainan itu dan sering menyertainya dalam majlis keramaian semasa pemerintahan Sultan Al-Muadzam Shah.

“Kalau filem Mat Kilau memaparkan adegan permainan ini sebelum serangan hendap Inggeris, pasti nilai estetikanya lebih terserlah dan mencerminkan budaya sebenar orang Pahang,” ujarnya.

Selain itu, kata Aripin, masyarakat Pahang dahulu tidak membanting padi sebaliknya ‘mengereknya’ dengan menggunakan kaki, satu lagi simbol keunikan budaya tempatan yang jarang diketahui umum.

“Filem Mat Kilau tetap berjaya membawa mesej perjuangan walaupun dua unsur budaya itu tidak ditonjolkan. Namun jika dimasukkan, pasti filem tersebut menjadi rujukan budaya yang lebih berharga,” katanya.

Aripin berkata, beliau bangga filem berkenaan berjaya menonjolkan amanat penting Mat Kilau dan Tok Jebek tentang kepentingan mempertahan bangsa, agama dan tanah air.

“Tok Jebek ialah guru pertama Mat Kilau dalam bidang agama dan silat sebelum berguru dengan ramai lagi pendekar serta ulama di Pahang, Terengganu serta Kelantan,” ujarnya.

Katanya, usaha menghidupkan semula hencang buah keras amat wajar kerana ia adalah warisan intelektual bangsa yang sarat dengan nilai murni, ketangkasan dan strategi yang kini semakin dilupakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN