MANILA: Seorang Datuk Bandar di Filipina mengarahkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan tempatan untuk mematuhi `dasar senyum’ ketika memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Datuk Bandar Mulanay di Quezon, Aristotle L Aguirre menegaskan tindakan tatatertib boleh dikenakan terhadap mereka yang gagal mematuhi arahan berkenaan.
Lapor The Guardian, Aguirre menandatangani perintah eksekutif untuk mengguna pakai `dasar senyum’ dalam usaha menangani masalah kurang semangat dalam kalangan kakitangan tersebut.
“Dasar itu akan menjadi salah satu program utama pentadbiran.
“Malah, ia juga akan mewujudkan suasana yang tenang dan lebih mesra pelanggan apabila memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” jelas perintah itu.
Menurut perintah itu, semua jabatan, pejabat, unit dan bahagian perlu mematuhi dasar itu semasa berkhidmat kepada orang ramai.
Jelasnya, jabatan sumber manusia akan mengemukakan butiran lanjut termasuk kakitangan akan dipantau sepanjang pelaksanaan perintah itu.
“Mana-mana kakitangan atau pegawai yang didapati melanggar perintah itu harus mengemukakan alasan munasabah untuk liabiliti pentadbiran dengan merujuk undang-undang, dasar, garis panduan dan peraturan sedia ada,” jelasnya.
Aguirre bukan satu-satunya pegawai tertinggi yang mendesak kakitangan awam untuk berkhidmat dengan lebih mesra dan kompeten.
Datuk Bandar Silang di selatan Manila, Kevin Anarna menjanjikan gaya perkhidmatan baharu dengan mengarahkan semua kakitangannya supaya tidak bermasam muka ketika memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.