MUIS rujuk Jakim isu daging halal Australia

MUIS rujuk Jakim isu daging halal Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan mendapatkan pandangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pengesahan daripada Majlis Islam Tertinggi bagi Daging Halal di Australia (SICHMA) berhubung proses tempat penyembelihan Australia, Thomas Foods International Lobethal (TFIL) sebelum memutuskan untuk menghentikan import produk daging tersebut.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berkata, Jakim juga menjalankan siasatannya sendiri ke atas TFIL menerusi wakil yang dilantik di Canberra, sementara SICHMA memperakui kelemahan pada protokol-protokol penyembelihan oleh TFIL sejak dibongkarkan akhbar Utusan Malaysia 14 April lalu.

“Apabila sudah jelas integriti halal di TFIL dikompromi, MUIS mengarahkan syarikat-syarikat dengan pensijilan halal supaya menghentikan penggunaan produk daging dari TFIL serta-merta, 30 Mei lalu.

“MUIS akan terus memantau import produk daging halal ke Singapura,” jelas Masagos menerusi jawapan bertulis di Parlimen.

Meskipun Jabatan Pertanian, Air dan Persekitaran Australia (DAWE) memberi respons kepada Agensi Makanan Singapura (SFA) pada 16 Mei lalu mengenai operasi TFIL sejajar dengan peraturan dan piawaian keselamatan makanan Australia, Masagos berkata, pihaknya akan tetap memastikan kehalalan produk daging tersebut.

“MUIS akan memastikan produk-produk disahkan halal yang digunakan oleh pemegang sijil halal mengamalkan piawaian halal yang serupa atau boleh dibandingkan dengan Piawaian Halal MUIS Singapura (SMHS) melalui skim pengiktirafan Badan-Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB),” katanya.

1 Jun lalu, MUIS mengarahkan semua pemegang sijil halalnya untuk menghentikan import serta-merta dan penggunaan produk daging daripada pusat penyembelihan TFIL.

MUIS mengambil tindakan tegas tersebut susulan pendedahan Utusan Malaysia sejak 14 April lalu, apabila seorang bekas pekerja sebuah rumah penyembelihan di Australia membuat pengakuan secara terbuka.

Lelaki itu mendakwa mempunyai bukti rakaman video cara sembelihan haiwan di sana melanggar protokol sebagaimana didedahkan.

Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memutuskan untuk menggantung lesen loji sembelihan TFIL susulan isu penyembelihan yang meragukan sehingga hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Malah, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu pula akan diberi surat tunjuk sebab.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN