Marcos Jr. janji pertahan hak Filipina ke atas Laut China Selatan

Marcos Jr. janji pertahan hak Filipina ke atas Laut China Selatan

MARCOS JR. mengangkat sumpah sebagai Presiden Filipina baharu di samping isteri dan anaknya di Muzium Negara, Manila, semalam.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Ferdinand Marcos Jr mengangkat sumpah sebagai Presiden Filipina ke-17 di Muzium Negara di ibu negara, dengan kawalan ketat lebih 15,000 anggota polis dan tentera.  

Majlis angkat sumpah penuh gilang-gemilang itu diadakan beberapa hari selepas Mahkamah Agung menolak percubaan terakhir untuk membuatkan Marcos Jr hilang kelayakan daripada Pilihan Raya Presiden dan menghalangnya daripada memegang jawatan presiden.  

Anak lelaki mendiang diktator Filipina, Ferdinand Marcos menang besar dalam pilihan raya bulan lalu, sekali gus mengulangi sejarah bapanya yang pernah dilantik sebagai Presiden kesepuluh negara. 

Mendiang bapanya memimpin negara dari 1965 hingga 1986, dengan melaksanakan undang-undang tentera sehingga mencetuskan pelanggaran hak asasi manusia, rasuah dan kemiskinan.

Marcos Jr berjaya memperoleh kemenangan majoriti, iaitu kali pertama sejak revolusi 1986 yang menyaksikan era pentadbiran bapanya digulingkan.

Pemimpin berusia 64 tahun itu menggantikan Rodrigo Duterte yang terkenal dengan kempen memerangi dadah sehingga menyebabkan ribuan pengedar dadah mati dihukum bunuh. 

Penampilan Marcos Jr yang kelihatan lebih sopan berbanding Duterte, juga berjanji ‘sentiasa berusaha mencapai kesempurnaan’ dalam menguruskan kerajaan termasuk memulihkan sosioekonomi negara. 

Sara Duterte yang merupakan anak kepada bekas presiden sebelum ini mengangkat sumpah sebagai Naib Presiden. 

ERA DIKTATOR 

LAUTAN penyokong yang berhimpun meraikan kemenangan Marcos Jr. dalam Pilihan Raya Presiden Filipina di bandar Paranaque.-AFP

Sebelum ini, segelintir rakyat Filipina menzahirkan kebimbangan era diktator bakal berulang sekiranya anak mendiang Marcos memenangi pilihan raya.

Mereka beranggapan Marcos Jr, atau lebih mesra disapa ‘Bongbong’ akan mengikut jejak langkah mendiang bapanya melaksanakan pentadbiran kuku besi.

Tidak seperti kebanyakan pemimpin politik yang lain, Marcos Jr mengambil pendekatan melancarkan kempen yang bersahaja, namun mampu menyampaikan mesej perpaduan kepada rakyat.

Beliau menjadikan usaha menangani inflasi, meningkatkan pertumbuhan dan meningkatkan pengeluaran makanan sebagai keutamaannya.

Bongbong turut mengambil langkah drastik dengan melantik dirinya sebagai Menteri Pertanian untuk mengetuai baik pulih sektor berkenaan yang dilanda masalah, selain berjanji untuk mempertahankan hak Filipina ke atas Laut China Selatan yang dipertikaikan termasuk yang dituntut oleh Beijing.

Beliau menyandang jawatan presiden selama enam tahun dan dijangka meneruskan semua usaha serta sumbangan yang diberikan oleh Duterte sebelum ini.

Bongbong juga memainkan peranan penting memperjuangkan gerakan koperasi dengan menggunakan kebanyakan Dana Pembangunan Luar Bandar (CDF) untuk menguruskan koperasi untuk guru dan petani di wilayah pentadbirannya.

LULUSAN OXFORD

Sejak berada dalam perkhidmatan awam selama lebih 25 tahun, Marcos Jr sudah mencatat perjalanan kerjaya yang luar biasa dalam kerajaan selepas memegang pelbagai jawatan dalam cabang eksekutif dan legislatif di Filipina.

Ketika kecil, Marcos Jr mendapatkan pendidikan awal tadika dan sekolah rendah masing-masing di Institucion Teresiana dan La Salle Greenhillsbdi Manila.

Disebabkan ibu bapanya mahu beliau membesar secara merendah diri tanpa dipengaruhi kedudukan keluarga, Marcos Jr dihantar ke England bagi menyambung pelajaran di Benedictine, Worth School.

Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian dengan memperoleh Diploma Khas Pengajian Sosial dari Universiti Oxford, England.

Disebabkan hasrat untuk mencari ilmu yang tinggi menggunung, Marcos Jr melanjutkan pengajian dalam ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan di Pusat Pengajian Perniagaan Wharton di Universiti Pennsylvania, Philadelphia, Amerika Syarikat. 

Beliau berkahwin dengan peguam, Louise Araneta-Marcos dan memiliki tiga anak iaitu Sandro, Simon dan Vincent.-BBC  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya