TONGXIANG: Naluri ayah yang dirasakan seorang lelaki berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun selepas dia terjatuh dari blok kediaman di timur China.
Rakaman insiden yang berlaku di bandar Tongxiang di wilayah Zhejiang itu dikongsikan oleh Kementerian Luar China menerusi Twitter.
Jurucakap kementerian itu, Zhao Lijian berkata, lelaki itu bertindak sebagai wira apabila secara spontan menyambut kanak-kanak perempuan yang terjatuh dari rumahnya.
Menerusi rakaman itu, seorang lelaki sedang membuat panggilan telefon dan tiba-tiba bergegas ke arah blok kediaman itu bersama seorang wanita.
Tidak lama kemudian, dia melepaskan telefonnya dan menyambut kanak-kanak itu dengan tangannya.
Media tempatan melaporkan, kanak-kanak itu terjatuh dari tingkat enam ke bahagian teres tingkat satu sebelum tergelincir dari bahagian itu dan terjatuh ke bawah.
Lelaki itu yang dikenali sebagai Shen Dong, 31, merupakan pekerja di sebuah bank berhampiran blok kediaman tersebut.
Katanya, dia ternampak pada mulanya terdengar bunyi benda jatuh dan nalurinya menyatakan itu mungkin bunyi kanak-kanak terjatuh sebelum ternampak mangsa cuba berdiri atas teres dan tergelincir.
“Rakan saya memekik ke arah kanak-kanak itu supaya jangan bergerak, namun mangsa gagal mengimbangi badannya dan terjatuh.
“Nasib baik saya sempat menyambutnya dan syukurlah dia hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Kanak-kanak itu juga dilaporkan memanjat kerusi sebelum terjatuh dari tingkap tingkat enam bangunan tersebut.