COLOMBO: Polis Sri Lanka memaklumkan wang tunai bernilai jutaan rupee yang ditinggalkan oleh Presiden, Gotabaya Rajapaksa selepas beliau meninggalkan kediaman rasminya di ibu negara akan diserahkan kepada mahkamah.
Penunjuk perasaan menemukan sebanyak 17.85 juta rupee (RM221,344) dalam bentuk wang kertas baharu dan menyerahkan kepada polis selepas menyerbu istana Presiden pada Sabtu lalu.
“Wang berkenaan telah diambil oleh polis dan akan diserahkan kepada mahkamah,” kata jurucakap polis.
Menurut sumber rasmi, sebuah beg bimbit yang penuh dengan dokumen juga ditinggalkan di kediaman pemimpin itu.
Rajapaksa mula menetap di istana berusia dua dekad itu selepas keluar dari rumah persendiriannya pada 31 Mac lalu apabila peserta rusuhan menyerbu kediaman berkenaan.
Bagaimanapun, pemimpin berusia 73 tahun itu melarikan diri lagi dari kediaman rasmi menerusi pintu belakang di bawah kawalan anggota tentera.
Sumber berkata, beliau dibawa menaiki bot menghala ke timur laut kepulauan itu.
Setakat ini, lokasi sebenar keberadaan beliau tidak diketahui.
Namun, Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe berkata, Rajapaksa memaklumkan kepadanya mengenai hasrat beliau untuk meletak jawatan. – AFP