JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menjadi pemimpin Asia Tenggara pertama mengadakan pertemuan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.
CNN Indonesia melaporkan misi utama Jokowi berkunjung ke Ukraine bagi mendorong dialog perdamaian antara Kyiv dengan Moscow.
Jokowi berpandangan dialog menjadi penyelesaian segera menghentikan operasi ketenteraan khas tentera Russia yang sudah berlanjutan empat bulan.
“Meskipun sangat sukar dicapai, saya menyampaikan pentingnya resolusi perdamaian,” katanya.
Semasa pertemuan bersejarah itu, Jokowi memaklumkan kepada Zelensky beliau akan bertemu dengan Putin di Moscow bagi menyampaikan hasrat perdamaian.
“Saya tawarkan diri membawa mesej dari Zelensky kepada Putin,” katanya.
Bagaimanapun, tidak jelas respons Zelensky terhadap Jokowi selepas kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan.
Menerusi pertemuan itu, Jokowi turut menjemput Zelensky menghadiri sidang kemuncak G20 di Bali, November depan.
Difahamkan, Zelensky menerima jemputan tersebut dan akan menghadiri persidangan itu.
“Penyertaan Ukraine sangat penting bagi menjamin situasi keselamatan negara serta penyertaan peserta dari negara lain,” kata Zelensky.
Antara topik yang dibincangkan antara pemimpin kedua-dua negara adalah mengenai kenaikan harga makanan dan sumber tenaga di peringkat global.
Sebelum konflik Rusia di Ukraine tercetus 24 Februari lalu, Ukraine adalah antara negara pembekal terbesar gandum di Indonesia.
Namun, sekatan di perairan Ukraine oleh tentera Russia di Laut Hitam memberi ancaman terhadap krisis makanan global.
Jokowi menegaskan beliau komited menangani krisis tersebut dan semua langkah perlu dilaksanakan bagi memastikan Ukraine dapat meneruskan semula eksport makanan.