TEL AVIV: Israel menggunakan alasan ibadah haji untuk menjalinkan hubungan diplomasi dengan Arab Saudi selepas Menteri Kerjasama Serantau Israel, Esawi Freij berharap negara itu dapat menyediakan penerbangan terus dari Israel bagi penduduk beragama Islam.
Israel berusaha sehabis baik untuk ‘memancing’ Arab Saudi selepas menerima kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, minggu lalu.
Jumaat lalu, Arab Saudi menyatakan kesediaan membuka ruang udaranya bagi semua syarikat penerbangan susulan kunjungan Biden ke negara itu dari Israel.
Keterbukaan itu termasuk lanjutan hak penerbangan bagi pesawat Israel yang sebelum ini terpaksa transit ke Teluk Arab dan pelbagai laluan di Asia.
Freij berkata, keputusan Arab Saudi menunjukkan usaha menjalinkan hubungan lebih normal dengan Israel selepas didorong oleh AS.
“Ini dapat mengubah impian menjadi kenyataan bagi umat Islam.
“Saya percaya dalam tempoh setahun, penduduk Islam di Israel akan dapat menaiki pesawat dari Ben Gurion, lapangan terbang berhampiran Tel Aviv ke Jeddah bagi menunaikan ibadah haji,” katanya.
Bagaimanapun, Riyadh tidak memberikan sebarang maklum balas berhubung isu itu.
Difahamkan, seorang pegawai AS memberitahu Reuters, permit tersebut sedang diusahakan.
Sebelum ini, Arab Saudi menerima kemasukan jemaah haji dari Israel, namun mereka perlu transit di negara ketiga sebelum ke Mekah.
Menurut Freij, kos yang perlu dibayar oleh jemaah haji dari Israel adalah sebanyak AS$11,500 (RM51,000) bagi perjalanan selama seminggu.
Sebaliknya, jemaah haji dari negara Teluk Arab hanya membayar separuh daripada jumlah itu. –REUTERS