Gelombang haba terbesar landa benua Eropah

Gelombang haba terbesar landa benua Eropah

ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran di La Teste-de-Buch, Perancis.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Lebih 11,000 orang terpaksa meninggalkan wilayah Gironde di barat daya Perancis selepas kebakaran besar melanda kawasan hutan sejak beberapa hari lalu. 

BBC melaporkan, kebakaran turut merebak ke Portugal dan Sepanyol dengan suhu meningkat lebih 40 darjah Celcius. 

Sehingga kini, sebanyak 281 kes kematian direkodkan di kedua-dua negara akibat suhu panas terik melampau. 

Beberapa penduduk dan pelancong di kawasan bandar dan kampung di Sepanyol, Perancis dan Portugal turut melarikan diri akibat api yang semakin marak disebabkan angin kencang dengan suhu yang kering. 

Ketua Persekutuan Bomba Perancis, Gregory Allione turut memberi amaran tentang kesan pemanasan global yang berlaku sekarang. 

“Anggota bomba dan keselamatan awam berusaha memadamkan kebakaran setiap hari dan kesan pemanasan global bukannya berlaku pada 2030, tetapi sudah melanda sekarang,” katanya. 

Gelombang haba menjadi lebih kronik akibat perubahan ikllim yang berpunca dari tangan manusia. 

Suhu dunia bertambah panas sebanyak 1.1 darjah Celcius sejak era perindustrian bermula dengan suhu diramal akan terus meningkat. 

Situasi tersebut hanya dapat dikawal sekiranya kerajaan di seluruh dunia mengurangkan pelepasan gas rumah hijau secara drastik. 

SUHU CECAH 47 CELCIUS

Sementara itu, anggota bomba di Sepanyol berusaha melindungi bandar Monsagro selepas kebakaran merebak lebih jauh ke bahagian selatan di Taman Negara Monfrague yang menempatkan spesies burung yang jarang ditemukan. 

Laluan N-5 di Caceres di sebelah timur taman itu terputus akibat kebakaran hutan yang merebak ke kawasan jalan. 

Di Portugal, suhu 47 darjah Celcius direkodkan di bahagian utara negara, Pinhao yang mencatatkan rekod tertinggi bagi bulan Julai. 

Institut Kesihatan Carlos III berkata, seramai 43 orang meninggal dunia akibat gelombang haba yang melanda sejak dua hari pertama. 

Secara keseluruhannya, sebanyak 238 kematian direkodkan sejak 7 Julai lalu di Portugal yang dikaitkan dengan suhu terlampau panas dan sangat kering. 

Mangsa yang paling terjejas adalah warga emas, kanak-kanak dan penghidap penyakit kronik.

Itali dan Croatia turut melaporkan kebakaran hutan, manakala angin kencang meningkatkan risiko kebakaran hutan di lima wilayah di Greece. 

Attica, Crete dan Greece Tengah adalah antara kawasan paling berisiko dengan 51 kebakaran hutan berlaku dalam tempoh 24 jam lalu. 

TIADA KEPERLUAN TUTUP SEKOLAH

Dalam perkembangan lain, pegawai kesihatan di Britain menegaskan tiada sebab untuk menutup sekolah atau pejabat walaupun suhu panas mencecah 41 darjah Celcius yang berlum pernah terjadi sebelum ini. 

Beberapa pentadbir tetap mengambil tindakan untuk menutup sekolah lebih awal atau menutup terus, manakala, sebuah hospital membatalkan semua janji temu pesakit luar atau pembedahan susulan United Kingdom berdepan situasi ‘darurat’.  

Majikan pula tetap berdegil dan menolak idea pekerja di Britain bekerja dari rumah.

Keadaan itu akan menyebabkan ramai menghadapi gangguan besar menuju ke tempat kerja selepas Network Rail menasihati penumpang hanya melakukan perjalanan penting sahaja. 

Kebanyakan laluan kereta api seperti Gatwick Express, Thameslink dan Great Northern juga tidak akan beroperasi serta mengurangkan perkhidmatan di semua laluan. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN