Droupadi Murmu angkat sumpah Presiden baharu India - Utusan Malaysia

Droupadi Murmu angkat sumpah Presiden baharu India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Ahli politik, Droupadi Murmu mengangkat sumpah sebagai Presiden India ke-15 dalam satu majlis diadakan di bandar itu pada hari ini.

Ia sekaligus menjadikan Murmu sebagai individu pertama daripada puak suku kaum di India yang berkhidmat sebagai ketua negara.

Murmu, 64, yang berasal dari puak Santhal dan dilahirkan di negeri Odisha, memberi penghormatan sebelum upacara angkat sumpah di tugu peringatan wira kemerdekaan India, Mahatma Gandhi di Delhi.

Murmu menggantikan Ram Nath Kovind, 76, yang tamat penggal lima tahun, semalam.

Bekas guru sekolah dan gabenor negeri itu dipilih untuk memimpin negara selepas memperoleh 64 peratus undi oleh ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri India.

Murmu yang dicalonkan oleh parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) menewaskan calon pembangkang Yashwant Sinha, 84.

Selain itu, Murmu juga merupakan presiden wanita kedua India selepas Pratibha Patil yang memegang jawatan itu selama lima tahun dari 2007.

Ram Nath Kovind merupakan presiden kedua negara itu dari masyarakat Dalit. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN