LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson akhirnya akur dengan desakan pelbagai pihak apabila beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai pemimpin negara ini dan Parti Konservatif.
Menerusi ucapan, Boris Johnson memaklumkan beliau akan terus menggalas tanggungjawab sebagai perdana menteri sehingga penggantinya sudah dikenal pasti.
“Ketika ini, saya berdepan dengan saat paling sukar dan menyakitkan, namun keputusan sudah dibuat dan saya akan mengundurkan diri.
“Saya sudah cuba melakukan yang terbaik untuk rakyat yang memilih saya, terima kasih saya ucapkan atas sokongan anda semua.
“Saya juga cuba sedaya untuk bertahan demi mendukung mandat rakyat yang memilih saya, namun itu semua sudah berakhir,” katanya seperti yang dilapor Daily Mail.
Terdahulu, seramai lebih 30 ahli Parlimen dalam Kabinet pimpinan Johnson meletak jawatan.
Situasi itu menyebabkan ramai menteri mendesak Johnson meletak jawatan secara bermaruah atau berdepan dengan usul undi tidak percaya.
Johnson juga sebelum ini berkeras enggan meletak jawatan dan mengulangi pendiriannya untuk mempertahankan kedudukannya.
Selain itu, Johnson turut menyatakan dalam ucapannya bahawa beliau berasa kesal kerana terpaksa melepaskan ‘jawatan paling penting di dunia’ dan ‘terdapat segelintir pihak yang menyebabkan beliau tersungkur’.
Sementara itu, Johnson turut tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada keluarganya yang sentiasa menyokongnya. – AGENSI