Boris Johnson jangan lupa janji untuk berundur

Boris Johnson jangan lupa janji untuk berundur

BORIS Johnson memeluk isteri dan anak-anaknya selepas mengumumkan pengunduran dalam Parti Konservatif di Downing Street. - NUMBER 10 FLICKR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Boris Johnson berjanji kepada Kabinetnya bahawa beliau tidak akan menggunakan ‘masa yang ada sebagai perdana menteri untuk membuat perubahan yang besar’.

Sebaliknya, Johnson menegaskan beliau akan menjalankan tugas sebagai pemimpin Britain seperti biasa sehingga penggantinya ditetapkan.

Johnson yang meletak jawatan sebagai pemimpin Parti Konservatif menyaksikan barisan kepemimpinan Tory bertungkus-lumus mencari calon pengganti yang sesuai dan proses pemilihan akan disahkan pada minggu depan.

Namun, calon pemimpin baharu Tory yang juga akan menjadi perdana menteri dijangka dipilih dan dilantik pada September ini.

Peguam Negara England, Suella Braverman dan ahli Parlimen Tom Tugendhat merupakan antara ahli Tory yang mengesahkan untuk merebut jawatan tersebut.

Selain itu, Menteri Kesihatan, Sajid Javid dan Menteri Pengangkutan, Grant Shapps turut mempertimbangkan rancangan untuk merebut jawatan pemimpin Tory dan perdana menteri.

Menteri Luar, Liz Truss dan bekas canselor, Rishi Sunak juga menjadi ‘calon kegemaran’ bagi jawatan berkenaan.

LETAK JAWATAN SERTA-MERTA

Dalam pada itu, bekas perdana menteri, John Mayor menegaskan keputusan Johnson untuk terus berkhidmat sebagai pemimpin negara ini sehingga penggantinya dipilih merupakan ‘langkah tidak bijak’.

Katanya, pemilihan pemimpin Tory perlu dilakukan segera atau Timbalan Perdana Menteri, Dominic Raab perlu menjadi perdana menteri sementara.

Selain itu, Parti Buruh mengancam untuk menyingkirkan Johnson serta-merta menerusi usul undi tidak percaya, walaupun langkah itu perlu mendapat sokongan daripada ahli-ahli Tory.

JAMINAN JOHNSON

Dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini, Johnson memberi jaminan beliau tidak akan melaksanakan sebarang perubahan besar atau keputusan fiskal yang terburu-buru.

Sebaliknya, beliau bersetuju untuk menjadi perdana menteri sementara sehingga pengganti dipilih.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Wales yang bru dilantik, Robert Buckland.

“Sudah jelas Johnson akan menjadi perdana menteri sehingga penggantinya dipilih dan beliau juga berjanji tidak akan membuat sebarang perubahan besar yang boleh menjejaskan semua perkara,” ujarnya.

REAKSI DUNIA

Peletakan jawatan Johnson dalam Konservatif mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemimpin dunia.

Berikut reaksi daripada sejumlah pemimpin dunia mengenai pengunduran Johnson.

“Amerika Syarikat (AS) akan meneruskan kerjasama rapat dengan Britain, termasuk menyokong usaha sama menentang pencerobohan Russia di Ukraine.

“AS dan United Kingdom (UK) merupakan sekutu rapat dan hubungan istimewa ini akan terus terjalin,”

Presiden AS, Joe Biden

“Pengunduran Boris Johnson membuka laluan dan hubungan baharu antara Kesatuan Eropah (EU) dan Britain.

“Hubungan baharu itu mungkin lebih kukuh, dihormati, mesra dan menyeluruh kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan antara EU dan Britain,”

Bekas perunding EU untuk Brexit, Michel Barnier

“Kami semua menerima berita ini dengan kesedihan. Bukan saya sahaja, tetapi seluruh rakyat Ukraine kerana Johnson merupakan antara penyokong kuat kami.

“Diharapkan rakyat Britain tidak pernah melupakan jasa dan sumbangan beliau sepanjang perkhidmatannya sebagai perdana menteri,”

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky

“Diharap individu yang lebih profesional dapat mentadbir Britain pada masa akan datang.

“Individu itu diharapkan dapat membuat keputusan yang bijak menerusi sesi dialog yang bagus walaupun peluang itu mungkin dilihat seperti tiada ketika ini,”

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN