NEW DELHI: Peletakan jawatan oleh Menteri Hal Ehwal Minoriti, Mukhtar Abbas Naqvi kelmarin, menyebabkan parti pemerintah India tidak mempunyai wakil Parlimen beragama Islam buat kali pertama dalam sejarah.
Mukhtar meletak jawatan sehari sebelum penggal sebagai ahli parlimen dijadualkan berakhir.
Ahli politik berusia 64 tahun itu merupakan satu-satunya menteri beragama Islam di bawah pentadbiran Perdana Menteri Narendra Modi di bawah Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memenuhi hampir 400 kerusi di Parlimen.
Peletakan jawatan Mukhtar berlaku ketika parti tersebut berdepan dakwaan menindas masyarakat minoriti sejak memegang tampuk kerajaan pada 2014.
India mempunyai kira-kira 200 penduduk beragama Islam, sekali gus menjadi populasi Islam ketiga terbesar di dunia selepas Pakistan dan Indonesia.
Tempat Mukhtar kini digantikan oleh bekas aktres, Smriti Irani, 46 tahun.
Laporan media tempatan sebelum ini membuat spekulasi BJP mungkin mempertimbangkan Mukhtar untuk memegang jawatan sebagai Naib Presiden India ketika parti itu berdepan kecaman global berikutan seorang daripada ahlinya mengeluarkan kenyataan menghina Islam.
BJP PARTI TERBESAR
BJP pimpinan Modi disifatkan sebagai parti politik terbesar di dunia, menyaksikan 301 ahlinya memenuhi kerusi Parlimen.
Pengunduran Mukhtar menyebabkan parti itu tiada wakil beragama Islam, termasuk di Parlimen.
Pakar politik berpandangan, ketiadaan wakil beragama Islam dalam pentadbiran BJP bertentangan dengan slogan yang diperjuangkan parti berkenaan iaitu ‘harmoni untuk semua’.
Penganalisis politik merangkap wartawan, Arathi Jerath memberitahu Al-Jazeera, BJP sebelum ini mempunyai ‘token’ apabila melibatkan wakil beragama Islam menyertai pentadbirannya.
“Namun, situasi itu berubah selepas Mukhtar meletak jawatan. Ini merupakan perkara baharu dan luar biasa.
“Mungkin ini menunjukkan bagaimana BJP berubah di bawah Modi yang menjelaskan, parti itu tetap boleh meraih sokongan dan undian rakyat biarpun tidak mempunyai wakil Islam,” katanya.
Pada pilihan raya umum 2014, BJP mempertaruhkan tujuh calon beragama Islam, namun tiada satu pun di antara mereka memenangi kerusi Parlimen.
Dalam pilihan raya umum 2019, BJP sekali lagi mempertaruhkan enam calon beragama Islam untuk merebut kerusi Parlimen dan seperti yang dijangka, tiada di antara mereka berjaya menang.
BJP TIDAK PILIH BULU
Pemimpin saya minoriti BJP, Jamal Siddiqui mendakwa parti itu tidak ‘mementingkan perbezaan agama’ ketika memilih calon.
“BJP memilih calon berdasarkan keperluan dan bukannya agama,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyelidik, Rahul Verma pula berpandangan, ketiadaan ahli parlimen Islam berkemungkinan ‘merosakkan’ prospek pilihan raya BJP.
Katanya, parti tersebut tidak terlalu selesa dengan keadaan berkenaan kerana, mereka masih perlu mempunyai wakil beragama Islam dalam organisasinya.









