Bekas PM Jepun cedera ditembak - Utusan Malaysia

Bekas PM Jepun cedera ditembak

SHINZO ABE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dilaporkan ditembak ketika sedang berkempen di wilayah Nara hari ini, lapor media tempatan.

Beliau sebelum itu menyampaikan ucapan menjelang pilihan raya Dewan Perwakilan pada Ahad apabila bunyi tembakan kedengaran, menurut penyiar nasional NHK dan agensi berita Kyodo.

Berikutan tembakan itu, Abe, 67, rebah dan cedera di leher, sumber Parti Liberal Demokratik (LDP) memberitahu agensi berita Jiji.

LDP mahupun polis tempatan tidak dapat mengesahkan laporan dengan segera.

NHK dan Kyodo melaporkan Abe dibawa ke hospital dan dilaporkan berdepan situasi ‘cardo-respiratory arrest’ (fungsi jantung dan pernafasan terhenti).

Beberapa media melaporkan beliau kelihatan ditembak dari belakang, mungkin dengan senapang patah.

Abe, perdana menteri Jepun yang paling lama berkhidmat, memegang jawatan pada 2006 selama satu tahun dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020.

Berikutan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an atas cubaan membunuh dan merampas sepucuk pistol, menurut NHK, memetik sumber polis. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN