16 maut banjir kilat di Kashmir - Utusan Malaysia

16 maut banjir kilat di Kashmir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SRINAGAR: Sekurang-kurangnya 16 maut dan puluhan yang lain hilang selepas hujan lebat mengakibatkan banjir kilat berhampiran kuil Hindu di Gua Himalaya, Amarnath, di Kashmir, India, pada ketinggian 3,900 meter.

Tragedi berlaku ketika upacara ziarah keagamaan tahunan, menyaksikan puluhan ribu penganut Hindu menyeberangi glasier dan laluan berair untuk sampai ke gua yang mengandungi stalagmit ais itu.

Ketua Polis Kashmir, Vijay Kumar, berkata operasi menyelamat setakat ini menemukan lapan mayat selepas tragedi berhampiran gua terbabit, yang turut menghanyutkan beberapa khemah dan kemudahan lain.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 10,000 orang berada di kuil berkenaan semasa hujan lebat disusuli banjir kilat melanda kawasan berkenaan.

Seorang lagi pegawai yang enggan dikenali berkata angka kematian mungkin lebih besar kerana lima lagi mayat ditemukan manakala jumlah yang masih hilang juga ramai.

Tambahnya, anggota penyelamat sudah mengeluarkan beberapa mayat dari kawasan berhampiran tempat kejadian dan ada kemungkinan terdapat mangsa lain dihanyutkan lebih jauh.

Perdana Menteri, Narendra Modi, dalam ciapan di Twitter, menzahirkan rasa sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan, semua bantuan sedang diberikan kepada mangsa yang terjejas,” katanya.

Gua berkenaan dilitupi salji hampir sepanjang tahun tetapi pihak berkuasa membenarkan orang ramai melawat selama 45 hari sepanjang musim panas kerana peningkatan suhu membersihkan laluan.

Ziarah tahun ini berlangsung selepas selang dua tahun kerana dihentikan sementara kerana Covid-19.

Pihak berkuasa menjangkakan rekod 800,000 orang akan menziarahi di kuil itu, yang juga antara pusat pelancongan antarabangsa terkemuka, selepas lebih 60,000 ketibaan direkodkan setakat ini dalam tempoh 10 hari pertama.

Askar India yang membawa senapang automatik dan memakai jaket kalis peluru mengawal laluan sejak ziarah keagamaan bermula di wilayah majoriti penduduk Islam itu pada Jun lalu. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN