KYIV: Agensi perisikan Ukraine mendakwa sejumlah tentera Russia berusaha mencari jalan melarikan diri dari negara itu termasuk cuba mengadakan perkahwinan palsu.
Menurut penganalisis, tentera Russia berasa terlalu tertekan dengan kurang bersemangat dan berkemungkinan kehabisan pasukan sedia tempur ketika perang di Ukraine memasuki hari ke-105.
Memetik laporan Daily Mail, dakwaan itu dibuat setelah satu rakaman audio membabitkan perbualan antara seorang tentera Russia dan rakannya dibocorkan.
Rakaman itu mendedahkan anggota tentera tidak mempunyai pilihan langsung, malah ramai dalam kalangan mereka sudah melakukan pelbagai percubaan melarikan diri dari Ukraine, namun gagal.
“Sama ada anda cedera, terbunuh atau ada perintah rasmi untuk berundur,” jelas tentera dalam audio tersebut.
Malah, individu dalam rakaman turut mendakwa dia sendiri pernah cuba mengaturkan perkahwinan palsu untuk melarikan diri daripada konflik itu.
“Saya beritahu kepada seorang tentera wanita untuk menyerahkan permohonan perkahwinan ke pejabat pendaftaran.
“Dia enggan berbuat demikian kerana tidak mempunyai pilihan. Semua di sini sedang cuba sedaya upaya untuk keluar tetapi tiada jalan,” katanya.
Sementara itu, lapor The Telegraph, rakaman audio itu dikeluarkan oleh Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU).
Jurucakap dari SBU berkata, berdasarkan rakaman audio itu, sebahagian besar tentera Russia sedang mencari alasan untuk pulang ke tanah air ketika komander mengetatkan sekatan cuti mereka.
Selain itu, menurut satu lagi panggilan dipintas oleh agensi perisikan Ukraine, seorang lelaki yang dipercayai merupakan tentera Russia memaklumkan bekalan air di kawasan mereka sudah terputus.