RALEIGH: Sebuah syarikat kawalan serangga perosak di North Carolina menawarkan wang tunai sebanyak AS$2,000 (RM8,843) kepada pemilik rumah untuk melepaskan 100 ekor lipas di kediaman mereka.
Oddity Central melaporkan The Pest Informer menawarkan ganjaran tersebut bagi menguji kaedah baharu untuk memusnahkan serangga perosak itu.
Jelas syarikat itu, eksperimen menggunakan kaedah baharu itu akan dijalankan selama 30 hari.
“Kami memerlukan kebenaran pemilik rumah agar 100 ekor lipas dapat dilepaskan di kediaman mereka dan keseluruhan eksperimen itu akan dirakam oleh juruteknik,” jelasnya.
Menurut The Pest Informer, syarikat akan membayar ganjaran tersebut dan menggunakan teknik lain bagi menghapuskan lipas tersebut, sekiranya kaedah baharu digunakan tidak berkesan.
“Ketika ini, syarikat sudah mendapat lima hingga tujuh pemilik rumah bagi membolehkan 100 lipas Amerika dilepaskan ke kediaman mereka dan kebenaran untuk merakam dan menguji kaedah baharu
itu,” jelasnya.
Sementara itu, pengasas The Pest Informer, David Floyd berkata, pihaknya menerima lebih 2,000 permohonan bagi tawaran itu di laman sesawang syarikatnya.
Bagaimanapun, katanya, permohonan untuk tawaran itu akan dibuka sehingga 31 Julai depan.
Tambah Floyd, syarikatnya sebelum ini pernah melakukan eksperimen sama pada rumah rakan dan ahli keluarga pekerjanya.