COLOMBO: Kerajaan Sri Lanka membenarkan penduduk beragama Islam menunaikan ibadah haji tahun ini dengan syarat mereka perlu membayar kos perjalanan dalam matawang asing.
Langkah itu berikutan negara berdepan krisis ekonomi yang semakin meruncing sejak zaman kemerdekaan 1948, lapor Arab News.
Bulan lalu, Organisasi jemaah haji Sri Lanka memaklumkan mengenai kemungkinan menangguhkan operasi ibadah tersebut kerana kos penghantaran jemaah ke Mekah dianggarkan mencecah AS$10 juta (RM43 juta) yang terlalu tinggi untuk ditanggung.
Penangguhan itu kemudian ditarik balik oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Vidura Wickremanayake Selasa lalu, susulan perbincangan dengan ahli Parlimen beragama Islam dan Menteri Alam Sekitar, Naseer Ahamed.
Wickremanayake berkata, pihaknya memutuskan untuk memenuhi kuota jemaah haji dengan syarat segala kos dibayar dalam matawang asing yang tidak akan menjejaskan keadaan ekonomi semasa.
“Saya telah meminta bank pusat untuk menyusun kaedah melaksanakan ibadah haji dan mereka akan membantu mencari laluan mudah ke Mekah tahun ini,” katanya.
Umat Islam membentuk hampir 10 peratus daripada 22 juta penduuduk negara itu yang kebanyakannya adalah penganut Buddha.
Tahun ini, Sri Lanka diperuntukkan kuota 1,585 jemaah haji selepas Arab Saudi mengumumkan akan membenarkan sejuta umat Islam dari negara luar menunaikan rukun Islam kelima itu.
Tiga tahun lalu, Sri Lanka menerima peruntukan kuota haji hampir 4,000 jemaah.
Sementara itu, Naseer berkata, jumlah jemaah haji tahun ini jauh lebih rendah berbanding 2019, sebelum wabak Covid-19 dan tidak yakin jumlah kuota dapat dipenuhi.
“Memandangkan jemaah haji telah diminta membayar pakej dalam matawang asing, kita tidak boleh mengharapkan untuk menggunakan kuota penuh tahun ini.
“Namun, adalah lebih baik kita menghantar jemaah haji juga ke sana bagi mengekalkan kuota yang diperuntukkan kepada Sri Lanka untuk tahun depan.










