Russia mahu letupkan London dahulu, kalau Perang Dunia Ketiga tercetus

Russia mahu letupkan London dahulu, kalau Perang Dunia Ketiga tercetus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Kremlin memberi amaran London akan menjadi bandar pertama dibom sekiranya Perang Dunia Ketiga tercetus. 

Ahli politik dari Duma, Andrey Gurulyov, 54, yang rapat dengan Vladimir Putin membuat ancaman kepada Britain menerusi saluran televisyen Rossiya 1, lapor Daily Mail.  

Amaran keras itu muncul selepas kebimbangan baharu mengenai operasi ketenteraan khas di Ukraine yang memuncak menjadi konflik global berikutan anggota Perjanjian Pertubuhan Atlantik Utara (NATO), Lithuania menyekat bekalan barangan ke Kaliningrad Rusia. 

Gurulyov berkata, ia adalah satu-satunya cara bagi menghalang sekatan yang dibuat oleh negara NATO terhadap Russia. 

“Kami akan memusnahkan seluruh kumpulan satelit angkasa lepas musuh semasa operasi udara pertama. 

“Tiada siapa yang akan peduli sama ada mereka adalah warga Amerika Syarikat atau British. Kita akan melihat mereka semua sebagai NATO. 

“Kedua, kami akan mengurangkan keseluruhan sistem pertahanan antipeluru berpandu 100 peratus. Ketiga, serangan pertama bukan di Warsaw, Paris atau Berlin, tetapi sebaliknya disasarkan ke London,” tegasnya. 

Gurulyov yang merupakan ahli jawatankuasa pertahanan Parlimen Russia menjelaskan ancaman kepada dunia datang dari Anglo-Saxon. 

“Sebagai sebahagian daripada operasi memusnahkan tapak yang sangat penting, Eropah Barat akan terputus bekalan elektrik dan tidak dapat bergerak. 

“Semua tapak bekalan kuasa akan dimusnahkan. Semasa peringkat ketiga, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah Barat akan meneruskan perjuangan mereka dalam keadaan sejuk, tanpa makanan dan bekalan elektrik,” katanya. 

Gurulyov ialah Bekas Timbalan Komander Tentera Selatan Russia. 

Beliau pernah berkhidmat dengan tentera Russia di Syria dan disekat oleh AS kerana hubungan rapatnya dengan Putin. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya